Skip to main content

Berita Sukan Am

Dulang hantaran Syed Saddiq berupa akaun SSPN jadi perhatian

Dulang hantaran Syed Saddiq berupa akaun SSPN jadi perhatian

Selepas melalui episod duka yang panjang termasuk diuji dengan pengkhianatan berulang kali dalam perkahwinan lalu, pelakon dan penyanyi terkenal, Dayang Nabellah Awang Astillah atau lebih dikenali sebagai Bella Astillah, akhirnya menemukan sinar bahagia yang baharu dalam bahtera cinta bersama bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman.

Hari pertunangan ini seolah-olah menjadi jawapan kepada segala kesabaran yang dipendam, sebuah penutup kepada luka lama, dan permulaan kepada cinta yang lebih abadi.

Advertisement

Segalanya bermula tanpa dirancang. Satu suratan takdir indah yang direncanakan Tuhan.

Dari sekadar digandingkan sebagai duta jenama pakaian terkenal, hubungan mereka yang pada awalnya dipandang sebagai ‘gimik’ peminat, perlahan-lahan berubah menjadi sesuatu yang lebih dalam.

Tanpa disedari, dari sesi penggambaran dan kemunculan bersama, lahirnya rasa yang akhirnya membawa mereka ke satu ikatan yang hari ini dimeterai dengan ikatan pertunangan.

Namun, yang paling menyentuh hati adalah keikhlasan yang dipersembahkan.

Saddiq mencuri perhatian apabila menghadiahkan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) buat kedua-dua anak Bella, Ayden Adrean dan Ara Adreanna.

Satu simbol jelas bahawa cintanya bukan hanya untuk Bella, tetapi juga untuk seluruh dunia kecil wanita itu.

Detik paling meruntun jiwa hadir ketika dia melontarkan bait-bait ucapan yang cukup mendalam,

“I love her not in spite of her children, but I love her because of her children.”

Kata-kata itu menjadi janji bahawa cinta ini hadir dengan penerimaan sepenuh hati.

Majlis yang disiarkan secara langsung menerusi platform Astro Awani, Astro Gempak dan ERA itu turut dihiasi dengan suasana romantis apabila Saddiq melangkah masuk ke dewan dengan sejambak bunga putih,  warna kegemaran tunangnya.

Difahamkan, pasangan ini bakal melangkah ke fasa seterusnya dengan merancang untuk mendirikan rumah tangga dalam tahun ini juga.

Tahniah diucapkan buat kedua pasangan dan semoga urusan menuju bahtera perkahwinan dipermudahkan.

Must Watch Video