Selepas menamatkan kem latihan pusat di Pulau Pinang, skuad judo remaja negara kini menggalas cabaran Malaysia dalam Kejohanan Piala Asia Cadet dan Junior, Hong Kong 2026 yang menghimpunkan penyertaan daripada 12 negara.
Kem latihan fasa akhir yang berlangsung di Akademi Budo Judo dari 10 hingga 15 Julai menjadi persiapan terakhir buat atlit negara sebelum berlepas ke Hong Kong yang dibimbing oleh jurulatih, Marjan Abdullah dan Chikara Matsuoka.
Malaysia mempertaruhkan enam atlit iaitu Ivan Ong, Qaleeda Izzdika, Khor Wei Ning dari Pulau Pinang, atlit Johor, Najwa Aqra serta Nurul Husna dan Lokman Hakim dari Terengganu yang beraksi dalam kategori Cadet dan Junior. Setakat ini, dua daripada mereka berjaya peroleh pingat gangsa dalam acara Cadet menerusi Ivan Ong dalam kategori 90kg dan Nurul Husna Atasya bagi kategori 70kg.
Kejayaan itu menjadi petanda positif buat skuad pelapis negara untuk mereka mengenal pasti tahap prestasi sebenar mereka di pentas yang lebih besar sekaligus menjadi medan menimba lebih banyak pengalaman berdepan pencabar terbaik dari rantau Asia.
Lebih mengujakan, selepas tamat saingan di Hong Kong, skuad negara akan meneruskan program pembangunan dengan menyertai kem latihan antarabangsa di macau dari 21 Julai hingga 23 Julai. Kem tersebut dijangka memberi nilai tambah kepada atlit negara menerusi sesi sparring bersama peserta dari pelbagai negara sebagai eprsiapan menghadapi kejohanan-kejohanan akan datang.