Malaysian Karate Federation (MAKAF) merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjadi tunjang kepada kejayaan pasukan karate negara yang berjaya membawa pulang dua pingat emas dan dua pingat gangsa di Aichi-Nagoya.
Pencapaian ini adalah hasil daripada perancangan yang tersusun, persediaan yang rapi, sokongan berterusan serta kerjasama erat antara MAKAF, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).
SOKONGAN KBS, KEBAJIKAN ATLET SENTIASA MENJADI KEUTAMAAN
MAKAF ingin merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada YB Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari atas sokongan padu dan komitmen berterusan terhadap pembangunan sukan karate negara.
Keprihatinan YB Dr Taufiq terhadap atlet, termasuk perhatian terhadap prestasi, persediaan pertandingan dan kebajikan atlet, memberikan keyakinan kepada barisan atlet untuk berjuang dengan penuh fokus dan membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.
Bagi MAKAF, kejayaan atlet tidak lahir hanya di gelanggang pertandingan. Ia bermula jauh lebih awal; melalui sistem sokongan yang kukuh, perancangan yang tepat dan keyakinan bahawa kebajikan atlet sentiasa diberi perhatian.
PROGRAM PODIUM MSN: PERSIAPAN RAPI UNTUK ATLET BERPRESTASI TINGGI
MAKAF turut menzahirkan penghargaan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi sokongan dan pelaksanaan Program Podium yang menyediakan persiapan menyeluruh kepada atlet.
Program serta sokongan yang diberikan membolehkan atlet menjalani persediaan secara lebih sistematik dan terancang, dengan penekanan bukan sahaja kepada prestasi, tetapi juga aspek kebajikan dan keperluan atlet sepanjang tempoh persiapan.
Dua emas dan dua gangsa yang diraih di Aichi-Nagoya adalah antara hasil daripada ekosistem persiapan yang dibina secara berterusan ini.
ISN: SAINS DAN KEPAKARAN MENYOKONG PRESTASI ATLET
Tidak dilupakan, MAKAF turut menghargai peranan Institut Sukan Negara (ISN) yang memberikan sokongan kepakaran dalam aspek sains sukan, pemakanan sukan, prestasi, pemulihan dan sokongan saintifik kepada atlet.
Dalam sukan berprestasi tinggi, perincian kecil boleh menentukan perbezaan besar. Justeru, sokongan kepakaran daripada ISN amat penting dalam memastikan atlet membuat persediaan secara lebih saintifik, sistematik dan berasaskan keperluan prestasi semasa.
KEJAYAAN INI ADALAH KEJAYAAN BERSAMA
MAKAF menegaskan bahawa pencapaian dua pingat emas dan dua pingat gangsa di Aichi-Nagoya adalah hasil daripada satu ekosistem yang bergerak seiring.
MAKAF menyediakan hala tuju dan pembangunan sukan.
YB MENTERI DAN KBS memberikan sokongan dan kepimpinan.
MSN memastikan persiapan serta kebajikan atlet diperkukuhkan.
ISN menyediakan sokongan sains dan kepakaran prestasi.
Atlet dan jurulatih pula menterjemahkan segala sokongan itu kepada prestasi di gelanggang.
Kekuatan sebenar sukan karate di Malaysia adalah apabila semua pihak bersatu dengan satu matlamat: memastikan atlet negara berada pada tahap terbaik apabila tiba masanya untuk mengibarkan Jalur Gemilang.
MAKAF percaya pencapaian di Aichi-Nagoya ini harus menjadi pemangkin dan api obor, kepada usaha membangunkan generasi atlet karate Malaysia yang lebih kompetitif, konsisten dan mampu bersaing di pentas dunia.
Kepada para atlet dan jurulatih, anda telah membuktikan bahawa kerja keras, disiplin dan persiapan yang rapi mampu diterjemahkan kepada kejayaan.
Dua emas. Dua gangsa.
Satu pasukan. Satu perjuangan.
Demi Malaysia.
MAKAF sekali lagi merakamkan penghargaan kepada YB MENTERI & KBS, MSN, ISN, para jurulatih, pegawai pasukan, atlet serta semua pihak yang berada di belakang kejayaan karate Malaysia.