Rezeki menangguh hasrat melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah, atlet karate negara, Aiqal Asmadie, pulang dengan pingat bersejarah daripada Sukan Asia Aichi-Nagoya.
Aiqal bersama Haznil Henry dan Mukhriz Mazlan meraih gangsa kata berpasukan lelaki selepas menumbangkan trio Vietnam 3-2 dalam aksi penentuan pingat hari ini.
Kejayaan itu menamatkan penantian 12 tahun Malaysia untuk kembali memungut pingat dalam acara kata lelaki temasya ini selepas Lim Chee Wei memenangi emas kata individu dalam edisi 2014 di Incheon.
"Saya sanggup tangguh pengajian, patut tahun ini saya sambung pengajian ke peringkat ijazah.
"Tapi saya memilih untuk fokus kepada Sukan Asia walaupun terpaksa menolak untuk sambung belajar dalam bidang sains sukan," kata Aiqal.
Lebih menarik, gandingan ini hanya dibentuk sekitar dua bulan lalu, dengan Mukhriz hadir sebagai orang baharu tatkala gangsa menjadi penawar buat Haznil selepas terlepas pingat dalam acara individu, semalam.
"Bukan mudah, tengok lawan pun susah tapi kami tetap berjuang.
"Kekecewaan acara individu sudah dilupakan, saya masih ada acara berpasukan.
"Rakan sepasukan perlukan saya," kata Haznil.
Tambah Mukhriz: "Pada awalnya bukan mudah untuk membentuk keserasian.
"Tapi ini pentas Asia, satu pentas yang tinggi jadi macam mana sekalipun, kami perlu mewujudkan persefahaman biarpun tidak sempurna.
"Kami pernah melalui konflik dalaman dan kami berjaya atasinya."