Kad merah, kelebihan 2-0 terpadam dan sepakan penalti mengenai palang gol menghiasi aksi Liga Super di Stadium Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Nasib seolah-olah tidak lagi menjurus kepada Selangor lagi, namun jaringan masa kecederaan daripada Jefferson Tabinas menjamin kemenangan 3-2 buat anak buah Kim Pan-gon itu ke atas Melaka, sebentar tadi.
Keceriaan jaringan awal yang disumbangkan oleh Chrigor Moraes hanya bertahan beberapa ketika sahaja apabila tersentak dengan kad merah yang dikutip Kay Tejan sebelum separuh masa pertama berakhir.
Bagaimanapun, Gergasi Merah terus mencengkam permainan dengan gol kedua menerusi larian kencang dan penyudah klinikal Moraes.
Selepas itu, Melaka -- yang baru mencatatkan satu kemenangan -- bangkit untuk merapatkan kedudukan menerusi rembatan padu luar kotak penalti oleh Shahir Rashid sebelum gawang mereka dirobek pula oleh menerusi jaringan pemain import, Do Dong-hyeon, pada mint ke-75.
Tatkala Moraes berpeluang untuk mencetak hatrik dan menjadi wira kemenangan pasukannya, sepakan penalti kencangnya sekadar menggegar palang.
Mujur rakan sepasukan Tabinas menjadi watak kemenangan ketika mengambil kesempatan ke atas situasi kelam kabut di depan pintu gol Melaka yang dikawal, Khairul Fahmi Che Mat, sekali gus mengekalkan rentak 100 peratus dalam tiga kemenangan.