Skuad hoki remaja negara mencipta sensasi apabila bangkit menundukkan Jepun 4-2 dalam Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2026 di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru malam tadi.
Perlawanan penuh mencabar menyaksikan pelawat lebih garang pada awal permainan memburu gol pertama, dan jawapannya hadir pada minit ke-19 oleh Matsuki Mori yang membuka tirai jaringan.
Hafiezuddin Mohd Ali tenang menyempurnakan penalti stroke untuk menyamakan kedudukan 1-1 ketika berbaki dua minit dalam suku kedua.
Penjaga gol negara, Adib Amsyar Mohammad Hanif, sekali lagi tertewas menjadikan Matahari Terbit kembali di hadapan.
Namun, semangat juang anak buah Nor Saiful Zaini Nasirrudin tidak boleh dipandang mudah sebaliknya tetap tidak berputus asa untuk mencipta kejutan, sekali gus berpeluang meraih kemenangan.
Young Tigers bagai mendapat tonik tambahan apabila pantas menjaringkan tiga gol dalam masa lima minit menerusi Aferull Syah Ahmad Azuan Syahrill (pukulan sudut penalti), Naaveennash Paniker S Thevendra (gol padang) dan Dheeressh Gunaseelan (pukulan sudut penalti) untuk menghadiahkan kemenangan kedua buat Malaysia.
Pelapis The Speedy Tigers itu akan bertemu Pakistan malam ini.