Ketua jurulatih Kuala Lumpur City, Datuk Dollah Salleh, mengakui masih banyak kelemahan perlu diperbaiki pasukannya, terutama di bahagian serangan.
Ia susulan keputusan seri tanpa jaringan menentang Perak FA dalam aksi timbal balik pusingan 16 Piala FA.
Bagaimanapun, The City Boys tetap mara ke suku akhir dengan kemenangan agregat 1-0 hasil jaringan kapten Paulo Josue pada perlawanan pertama di Manjung, 1 September lalu.
Dollah mengakui persembahan anak buahnya masih belum mencapai tahap yang diinginkan barisan kejurulatihan.
“Saya rasa masih banyak yang perlu diperbaiki, terutama di bahagian serangan. Kita perlu lebih tajam dan lebih baik selepas ini,” katanya.
Kuala Lumpur City kini menanti pemenang antara DPMM dan Terengganu untuk menentukan lawan mereka di suku akhir.
Sementara itu, ketua jurulatih Perak, Noor Zaidi Rohmat, tetap memuji semangat juang Sang Seladang walaupun hadir sebagai pasukan bukan pilihan.
Dia berharap persefahaman serta prestasi pemain akan terus meningkat bagi membantu Perak mencabar kelompok atasan Liga A1 Semi-Pro musim ini.