Pertahanan Kuala Lumpur City, Giancarlo Gallifuoco, menganggap pelantikan Datuk Dollah Salleh sebagai ketua jurulatih, satu keputusan tepat dibuat kelabnya berdasarkan pengalaman serta reputasi besar yang dimiliki legenda bola sepak negara itu.
Calon pemain naturalisasi negara itu akui amat teruja untuk bekerja di bawah bimbingan Dollah, yang dikenali bukan sahaja sebagai pemain handalan, malah sebagai jurulatih yang mempunyai rekod cemerlang bersama pasukan yang pernah dibimbingnya, termasuk skuad kebangsaan.
"Dia seorang jurulatih yang semua orang tahu betapa bagusnya dia sewaktu bergelar pemain," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Dan kita juga tahu betapa bagusnya dia sebagai jurulatih Sri Pahang dan pasukan kebangsaan.
"Bagi saya, ia satu kebanggaan. Sebelum ini, saya hanya pernah berada di bawah jurulatih dari luar negara, jadi amat baik untuk memiliki seorang jurulatih tempatan yang amat dihormati semua orang.
"Saya amat teruja, kami sudah mula berbual. Dia amat mesra tetapi apabila dia bercakap, semua orang mendengarnya.
"Saya rasa tahun ini bajet kami sedikit lebih kecil, kami perlu lebih rapat dan bekerja keras bersama-sama.
"Saya fikir dia individu sempurna untuk tugas itu."
Apa pun, KL City dijangka menjadi lokasi perhimpunan semula bekas pemain Sri Pahang apabila Ibrahim Manusi, Baqiuddin Shamsuddin dan Saiful Jamaluddin difahamkan bakal menyertai The City Boys.
Selain itu, Ahmad Hazwan Bakri dan pemain import, Sebastian Avanzini, difahamkan sudah menyertai latihan tatkala mereka dikatakan sedang berunding untuk mendapatkan khidmat penyerang, Syafiq Ahmad dan Sergio Aguero.