DNA Selangor memacu kemenangan ke atas Penang dalam aksi Liga Super di Petaling jaya malam tadi.
Kemenangan itu memastikan persaingan merebut gelaran naib juara liga kini diheret ke perlawanan terakhir.
Advertisement
Pengendali Selangor, Kim Pan-gon, memuji barisan pemainnya, yang menghasilkan dua gol menerusi situasi bola mati atau ‘set pieces’ dalam perlawanan itu, yang berkesudahan 4-0 memihak Gergasi Merah Kuning.
Kejayaan itu turut menjadi motivasi terbaik buat Selangor untuk menghadapi Nam Dinh dalam aksi separuh akhir pertama Piala Shopee di laman sendiri pada Rabu depan.
"Kami telah berusaha dengan gigih, barisan kejurulatihan kami melakukan tugas dengan baik, jadi saya menghargai segala persiapan yang telah dilakukan barisan kejurulatihan kami untuk memastikan set-piece menjadi," katanya dalam sidang media seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Pemain kami juga amat berdisiplin dalam mengikutinya. Amat baik untuk dapat melihat dua gol terhasil daripada gerakan itu hari ini.
"Saya fikir kami kini sedang membina kekuatan dan DNA Selangor. Ia juga adalah salah satu perkara penting.
"Kami perlu berdisiplin dan tersusun dalam menghasilkan gol padang, set piece, gol dari bawah dan serangan balas.
"Semua elemen itu perlu menghasilkan gol untuk menggembirakan penyokong kami."