Pemain warisan Harimau Malaya, Rodrigo Holgado, kembali ke kelab Chile, Coquimbo Unido.
Perkara itu diumumkan kelab berkenaan di platform media sosial mereka sebentar tadi.
Advertisement
"Penjaring gol berbisa dari Buenos Aires sertai perjuangan Sang Pirata bagi musim 2026," tulis kenyataan itu.
"Rodrigo Holgado kembali ke tempat yang sentiasa menjadi rumahnya, sebuah tempat di mana sejarah terus diukir bersama keluarga Aurinegra.
"Sebagai sebuah kelab, kami akan sentiasa menyokong perjalanan anda tanpa mengira keputusannya, dengan keyakinan bahawa wilayah ini akan terus memperkasakan anda.
"Kami berani mengambil risiko ini demi menegaskan jati diri kami: sebagai sebuah institusi yang menjaga dan melindungi mereka yang bangga mempertahankan maruah dan jersi kami di lapangan."
Rodrigo akan beraksi di Chile sepanjang musim 2026 secara pinjaman daripada America de Cali.
Ia merupakan tempoh ketiga Rodrigo bersama Coquimbo Unido, di mana dia pernah menyertai mereka pada 2018 dan 2022 sebelum menyertai America de Cali pada 2024.
Selepas digantung 12 bulan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) atas dakwaan pemalsuan dukumen pada September lalu, Holgado dilaporkan tidak menerima gaji dari kelab induknya itu sepanjang tempoh penggantungannya dan pernah berfikir untuk meninggalkan bola sepak.
Bagaimanapun, penangguhan hukuman yang diberikan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada hujung bulan lalu memberikan nafas baru buat penyerang berusia 30 tahun berkenaan.