Skip to main content

Bola Sepak

Destiny Football Development Centre inisiatif Aylwin Henry bangunkan bakat akar umbi

Destiny Football Development Centre inisiatif Aylwin Henry bangunkan bakat akar umbi

Perjalanan sebagai ibu bapa yang menyokong minat anak dalam bola sepak membawa perubahan besar dalam hidup Aylwin Henry Skelchy, apabila dia mengambil keputusan menubuhkan akademi bola sepak sendiri bagi membantu pembangunan bakat muda tempatan.

Menurut Aylwin, pengalaman dua anaknya menimba ilmu di Akademi Mokhtar Dahari menjadi titik tolak yang memberi inspirasi untuk menubuhkan Destiny Football Development Centre, sebuah pusat pembangunan bola sepak yang memberi fokus kepada pembangunan pemain dari peringkat akar umbi.

Advertisement

Dia menjelaskan, pengalaman sebagai ibu bapa kepada pemain muda memberi perspektif yang berbeza tentang bagaimana proses pembangunan pemain seharusnya dilaksanakan, bukan sekadar tertumpu kepada aspek teknik permainan, malah turut merangkumi pembentukan karakter dan mentaliti profesional.

“Daripada pengalaman sebagai ibu bapa di padang bola, saya melihat sendiri bagaimana pentingnya pembangunan yang seimbang -- dari teknik asas hinggalah kepada pembinaan sikap dan disiplin pemain,” katanya.

Pusat pembangunan yang diasaskan Aylwin itu kini berfungsi sebagai platform untuk melahirkan bakat muda yang berpotensi serta membantu merealisasikan impian membawa bola sepak Malaysia ke pentas lebih tinggi, termasuk kejohanan antarabangsa.

Di Destiny Football Development Centre, pemain muda bukan sahaja dilatih dari sudut fizikal dan kemahiran teknikal, malah didedahkan kepada nilai profesionalisme, disiplin serta kekuatan mental yang penting dalam dunia bola sepak moden.

Jurulatih di pusat tersebut turut menekankan bahawa pendekatan pembangunan holistik amat penting bagi memastikan pemain muda mampu berkembang secara menyeluruh, sama ada di dalam atau di luar padang.

Sebagai langkah awal memberi pendedahan lebih luas kepada pemain muda, pusat pembangunan itu merancang membawa pasukan bawah 11 tahun menyertai kejohanan antarabangsa di Jerman dalam masa terdekat.

Penyertaan tersebut dilihat sebagai peluang berharga untuk pemain muda merasai pengalaman berdepan dengan bakat dari pelbagai negara selain membantu membina keyakinan serta meningkatkan tahap permainan mereka sejak usia awal.

Beberapa pelatih seperti Zahin Azfar Zafran dan An Hong Rui turut berkongsi keterujaan untuk menimba pengalaman baharu di pentas antarabangsa, sekali gus membuka jalan kepada impian menjadi pemain profesional pada masa hadapan.

Dengan pendekatan pembangunan yang sistematik dan fokus kepada pembentukan pemain secara menyeluruh, Destiny Football Development Centre berharap dapat menyumbang kepada usaha melahirkan generasi baharu pemain bola sepak Malaysia yang mampu bersaing di peringkat dunia.

Aylwin Henry Skelchy dedahkan perjalanan hidup dua anaknya di Akademi Mokhtar Dahari jadi titik tolak buatnya tubuh akademi bola sepak sendiri! ⚽🔥💪🏼#NadiArena #AstroArena pic.twitter.com/iur8pZabKB

— Astro Arena 🇲🇾 (@ASTROARENA) March 5, 2026

Topik Berkaitan

Must Watch Video