Komuniti santai bola sepak yang semakin mendapat perhatian di media sosial terus berkembang dalam masa singkat walaupun bermula pada awal tahun 2026 dengan impian kecil, malah tiada apa-apa sasaran khusus, namun berjaya menarik minat pelbagai golongan.
Geng Cari Angin (GCA) timbul dari idea rawak, ingin menghimpunkan setiap lapisan masyarakat untuk bermain bola sepak, mengimbau kenangan waktu kecil, merasai denyut latihan berintensiti tinggi dan membina rangkaian sihat dengan yuran yang sangat murah.
Siapa sangka, walau tumbuh belum matang usia, kini GCA yang berpangkalan di Bandar Serenia, Sepang, Selangor itu sudah mencecah hampir 1,400 penglibatan! Dari muda hingga tua, tidak kira amatur-profesional atau orang biasa, semuanya berkumpul demi sentuhan sebiji bola.
Bukan tentang mencari siapa lebih handal, tetapi meraikan perbezaan dengan minat yang sama.
Daripada perkara paling asas hingga kemahiran tahap tinggi diberi pendedahan merasai latihan seperti pemain Liga Super. Setitis peluh mengekalkan gaya hidup sihat ditambah memori menjadi misi utama penubuhan kecil-kecilan ini.
Geng Cari Angin baru-baru ini memperkenalkan Siri Stadium (Stadium Series) membawa lebih kurang 36 orang menawan Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang bagi memberi peluang menikmati beraksi di venue Liga Super seperti pemain sebenar.

Pengalaman menyarung jersi di bilik persalinan, berjalan di terowong pemain memasuki padang dan bermain ala peringkat tertinggi menjadi antara kenangan terbaik untuk dirasai sekali seumur hidup.
Mana tahu, inisiatif ini boleh mengelilingi seluruh stadium ternama di Malaysia, kemudian boleh meninjau arena antarabangsa?
Pengasas bersama, Muhammad Syaqir Zawir Nazri Hisham, selaku pemegang lesen kejurulatihan bertauliah gred D FAM/KLFA berharap GCA menemui seantero negara dibantu bekas pemain Felda United, Mohd Akhmal Haiqal Azhar, untuk membudayakan bola sepak secara positif tanpa mengenal latar belakang.
Tulang belakang daripada pelbagai bidang, Wan Muhammad Anas Hakim Abd Aziz, Mohd Farhan Mahzuz Eddy Syari, Aduka Ahmad Qusyairie Azumie, Suffian Thauri Rosman, Akmal Zamshari dan Muhammad Afiq Aimi Kamar, yang bertungkus lumus menyediakan platform selamat dan sihat supaya akses lebih menyeluruh dan menembusi arus perdana.
Rujuk media sosial GCA untuk informasi lebih lanjut: