Penjaga gol muda sensasi Barcelona, Joan Garcia, menerima panggilan pertama menyertai skuad kebangsaan Sepanyol, dengan pemain tengah paling berpengaruh Manchester City, Rodri, kembali memperkuat La Roja menjelang perlawanan persahabatan bulan ini.
Ketua jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente, mengumumkan senarai 27 pemain sebagai persiapan menghadapi kejohanan utama tahun ini termasuk Piala Dunia FIFA 2026.
Advertisement
Garcia, 24, diberi kepercayaan sebagai benteng terakhir hasil prestasi cemerlang bersama Barcelona apabila merekodkan 11 ‘clean sheet’ dalam 22 aksi liga musim ini.
Ketangkasannya di gawang dengan menafikan beberapa percubaan berbahaya lawan dilihat melonjakkan reputasinya sebagai antara penjaga gol muda terbaik di Sepanyol ketika ini.
Sementara itu, kepulangan Rodri juga bakal memberi suntikan besar di bahagian tengah selepas kali terakhir mewakili negaranya pada September lalu.
Pemenang Ballon d'Or 2024 itu sebelum ini terpaksa diketepikan akibat kecederaan lutut yang mengehadkan aksinya dalam pentas antarabangsa.
Pemain berusia 29 tahun itu hanya membuat tiga penampilan bersama skuad kebangsaan sejak membantu Sepanyol menjulang kejuaraan Euro 2024.
Turut menerima panggilan sulung adalah pertahanan Arsenal, Cristhian Mosquera, pemain sayap Real Sociedad, Ander Barrenetxea, serta penyerang Osasuna, Victor Munoz.
Gabungan pemain muda dan tonggak berpengalaman mencerminkan perancangan Fuente dalam membentuk skuad yang lebih mantap dan kompetitif.
Dua lagi pemain Barcelona, Pedri dan Fermin Lopez turut tersenarai, namun pemain tengah Paris Saint-Germain, Fabian Ruiz, tercicir daripada senarai akibat kecederaan.
Sepanyol dijadual melayan kunjungan Serbia pada 27 Mac sebelum menentang Mesir empat hari kemudian.
Dalam perkembangan lain, perlawanan ‘Finalissima’ menentang juara Copa America, Argentina, yang sepatutnya berlangsung di Doha bagaimanapun dibatalkan susulan konflik semasa di Asia Barat.
Dalam kempen Piala Dunia yang bakal melabuhkan tirai Jun nanti, Sepanyol diundi dalam Kumpulan H bersama Cape Verde, Arab Saudi dan Uruguay.