Ketua jurulatih boling tenpin pekak kebangsaan, Joe Tay, memberi gambaran tiada hasrat untuk menyambung kontrak selepas tamat Deaflympics di Tokyo yang sedang hangat berlangsung.
Bagaimanapun, Joe enggan memberi sebarang kata muktamad terlebih dahulu dan akan berbincang dengan Presiden MSDeaf, Dr Ong Shin Ruenn, mengenai hasratnya.
Advertisement
Joe juga enggan menyatakan sebab terperinci mengapa keputusan tersebut dibuat.
"Saya perlu berbicara hati ke hati dengan presiden, Ong. dan melihat perancangan hala tuju mereka.
"Pasukan yang duduk di perkampungan sukan di sini hanya memerlukan 15 minit sahaja tempoh perjalanannya, sedangkan kami terpaksa bertolak ke venue dari pukul 5 pagi untuk menyertai acara yang bermula 10 pagi.
"Kami keletihan, pergi dan balik mengambil masa lima jam.
"Kami juga kalah daripada segi peralatan, kami memerlukan peralatan yang baru supaya boleh maju ke depan," katanya.
Secara keseluruhan, Joe tetap berpuas hati dengan pencapaian Malaysia yang meraih satu pingat emas dan satu perak masing- masing menerusi acara doubles lelaki dan doubles wanita.
"Memang berpuas hati dapat satu emas dan perak.
"Tetapi kalau ikutkan prestasi sebenar, pasukan sepatutnya boleh pergi lebih jauh.
"Begitulah boling tenpin, apa pun saya gembira dengan pencapaian pingat kali ini," katanya.