Suatu ketika dahulu, namanya pernah mengharumkan negara di pentas Sukan SEA Jakarta 1987 sebagai antara pelumba basikal elit Malaysia di bawah bimbingan jurulatih tersohor, Datuk Ng Joo Ngan.
Kini, hampir empat dekad kemudian, kehidupan Shah Nazad Aman Shah berubah sama sekali apabila bekas atlet kebangsaan itu mencari rezeki sebagai operator bot memancing di Tanjung Harapan, Klang, selain melakukan pelbagai kerja sambilan bagi menyara kehidupan.
Perubahan perjalanan hidup bekas pelumba berusia 58 tahun itu mendapat perhatian Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) yang turun padang bagi meninjau sendiri keadaan semasa beliau.
Hasil lawatan tersebut, YAKEB mendapati enjin bot yang menjadi sumber utama pendapatan Shah mengalami kerosakan, sekali gus menjejaskan keupayaannya untuk membawa pelanggan keluar memancing.
Menyedari kesukaran yang dihadapi bekas atlet negara itu, YAKEB mengambil tindakan segera dengan membantu membiayai kerja-kerja membaiki enjin bot berkenaan agar Shah dapat kembali menjalankan operasi dan meneruskan pencarian rezeki.
Pengerusi YAKEB, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berkata badan itu sentiasa komited membantu bekas atlet kebangsaan yang memerlukan sokongan, khususnya mereka yang pernah banyak berjasa mengharumkan nama negara tetapi kini berdepan cabaran kehidupan.
Sementara itu, Shah menzahirkan penghargaan atas keprihatinan YAKEB yang disifatkannya sebagai suntikan semangat untuk terus berdikari dan meneruskan kehidupan.
Kisah Shah menjadi peringatan bahawa jasa atlet tidak seharusnya dilupakan sebaik sahaja mereka meninggalkan arena pertandingan. Ia juga menyerlahkan peranan penting institusi seperti YAKEB dalam memastikan kebajikan bekas atlet negara terus terbela selepas tamat karier sukan mereka.