Bermula dengan hanya memegang kayu hoki seawal usia tujuh tahun, siapa sangka minat yang dipupuk oleh bapanya kini membuka peluang kepada Haziq Haiqal bin Daus, untuk mengembangkan bakat dalam arena hoki antarabangsa apabila berjaya menyertai sebuah kelab hoki di Jerman.
Anak kelahiran Sandakan, Sabah berusia 23 tahun itu kini beraksi dalam saingan Liga Hoki Jerman Divisyen Tiga bersama pasukan HTC SW Bonn selepas menerima tawaran melalui jurulatih hoki Universiti Teknologi MARA (UiTM), sekali gus menjadi antara tiga pemain Malaysia yang berpeluang menimba pengalaman bersama kelab berkenaan.
Ketika ditemui pada Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-105, Haziq Haiqal berkongsi bahawa minatnya terhadap sukan hoki bermula daripada bapanya, Daus bin Sultan, 55, yang pernah mewakili Sabah dalam sukan tersebut dan kini berkhidmat sebagai guru besar di sebuah sekolah di Beluran, Sabah.
“Sejak umur tujuh tahun lagi, ayah sudah melatih saya bermain hoki. Daripada ayahlah saya mendapat segala ilmu dan kemahiran dalam sukan ini,” katanya.
Anak ketiga daripada empat beradik itu mula mengembangkan bakatnya secara serius apabila memasuki Sekolah Sukan Sabah pada Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga sebelum menerima tawaran menyambung persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Bentara Luar, Batu Pahat, Johor.
Perpindahan tersebut membuka lebih banyak peluang kepadanya untuk menyertai kejohanan hoki di Semenanjung Malaysia, selain meningkatkan pengalaman beraksi pada peringkat kompetitif.
Antara pencapaian awalnya termasuk meraih pingat perak ketika mewakili Johor pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 serta membantu pasukan sekolah muncul naib juara Liga Hoki Remaja Malaysia.
Kecemerlangan dalam sukan hoki turut membuka laluan kepada Haziq Haiqal untuk melanjutkan pengajian di UiTM pada 2021 menerusi program Diploma Pengajian Sukan di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR).
Walaupun menerima beberapa tawaran pengajian, beliau memilih UiTM kerana melihat universiti tersebut mempunyai pembangunan sukan hoki yang aktif dan berpotensi membantu meningkatkan prestasinya.
Dia yang memperoleh purata nilai sekitar 3.00 percaya bahawa kejayaan dalam sukan dan akademik boleh dicapai secara seimbang melalui disiplin, komitmen serta pengurusan masa yang baik.
Menurutnya, pendidikan perlu menjadi keutamaan kerana kerjaya sebagai atlet sentiasa terdedah kepada risiko kecederaan dan pelbagai cabaran yang boleh menjejaskan masa depan dalam sukan..
Kisah perjalanan Haziq Haiqal dari Sandakan hingga ke pentas hoki Eropah membuktikan bahawa kesungguhan, sokongan keluarga dan peluang pembangunan sukan di universiti mampu menjadi pemangkin kepada kejayaan atlet muda negara.