Pemilihan anak kelahiran Pontian, Datuk Mohd Sumali Reduan, sebagai Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Asia 2026 dilihat sebagai pengiktirafan terhadap pengalaman luas beliau dalam pentadbiran sukan negara.
Beliau mula terlibat dalam kepimpinan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sejak 2014 ketika badan induk itu berdepan pelbagai cabaran dalaman.
Advertisement
Di bawah kepimpinannya, sepak takraw Malaysia kembali bangkit di pentas antarabangsa dengan kejayaan dalam Kejohanan Dunia serta pencapaian membanggakan dalam Sukan SEA.
Datuk Mohd Sumali, yang juga Presiden ke-6 PSM, muncul sebagai Presiden pertama PSM yang dipilih sebagai Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia, satu pencapaian bersejarah buat badan induk sepak takraw negara.
Selain itu, beliau turut memegang jawatan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), sekali gus mengukuhkan lagi pengaruhnya dalam landskap pentadbiran sukan negara.
Pemilihan sebagai Ketua Kontinjen negara ini juga menguatkan lagi spekulasi bahawa beliau bakal bertanding jawatan tertinggi sepaktakraw dunia sebagai Presiden International Sepaktakraw Federation (ISTAF) pada pemilihan akan datang.