Bagi Leroy Saunders, kecergasan bukan sekadar pekerjaan. Ia adalah kehidupan yang didedikasikan untuk membantu orang lain menjadi lebih kuat, lebih yakin dan berani mencabar kemampuan diri.
Namun, perjalanan itu berakhir secara tragis apabila jurulatih kecergasan berusia 41 tahun itu meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika menyertai pertandingan HYROX di Bangkok, Thailand, Khamis lalu.
Saunders, yang berasal dari Afrika Selatan dan menetap di Bangkok, menyertai acara BYD HYROX di Queen Sirikit National Convention Center.
Dia diberikan bantuan kecemasan dan CPR di lokasi sebelum dikejarkan ke hospital berdekatan, namun disahkan meninggal dunia pada hari pertama pertandingan.
Apa yang membuatkan pemergiannya lebih menyentuh hati ialah Saunders bukan sekadar peserta HYROX.
Dia merupakan jurulatih CrossFit, pemilik gim dan mentor yang sepanjang kariernya membantu ramai orang membina kekuatan fizikal serta mental.
Dalam kenyataan yang dikongsikan insan tersayangnya, keluarga Saunders mengakui mereka masih belum mengetahui apa yang menyebabkan dia jatuh sakit.
Namun, mereka memilih untuk mengenang kehidupan lelaki itu melalui perkara yang paling dekat dengan dirinya -- kecergasan, cabaran dan usaha memberi inspirasi kepada orang lain.
“Sehingga saat terakhir, Leroy menjalani hidup tanpa penyesalan atau keraguan dan memberi impak kepada ratusan, malah ribuan orang untuk melakukan perkara yang sama,” kata keluarganya.
Pertandingan yang diperkenalkan pada 2017 itu menggabungkan lapan kilometer larian dengan lapan stesen latihan fungsional (jenis latihan fisik yang dirancang untuk meniru gerakan alami tubuh sehari-hari), memerlukan peserta berlari dan melakukan latihan intensif secara berselang-seli.
Tahun lalu, dia pernah menamatkan kategori Doubles HYROX dalam masa 1 jam 17 minit 51 saat.
Kali ini, dia kembali ke arena yang sudah dikenalinya -- tetapi tidak sempat menamatkan cabaran tersebut.
Bagi mereka yang mengenalinya, legasi Saunders tidak terletak pada catatan masa atau jumlah pertandingan yang disertainya.
Sebaliknya, ia terletak pada manusia yang pernah dibantunya.
Sebuah kutipan dana untuk keluarganya menggambarkan Saunders sebagai jurulatih yang benar-benar mencintai bidangnya, mempunyai pengetahuan mendalam dan tenaga yang mampu mengubah suasana setiap kali dia hadir.
“Dia memberikan segala-galanya kepada sukan ini dan orang di sekelilingnya,” menurut kenyataan itu.
Pemergian Saunders menjadi kehilangan besar buat komuniti kecergasan di Bangkok dan mereka yang pernah melalui latihan bersamanya.
Dia mungkin tidak sempat menamatkan perlumbaan terakhirnya, tetapi kisahnya meninggalkan satu perkara yang jauh lebih besar daripada keputusan pertandingan — semangat untuk hidup tanpa takut mencabar batas diri dan membantu orang lain melakukan perkara yang sama.