Nasib terus tidak menyebelahi jaguh karate negara, Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik, apabila sekali lagi dihimpit kecederaan serius yang bukan sahaja memaksanya melupakan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, malah turut membuatkan beliau mula memikirkan soal persaraan.
Pemenang pingat emas acara kumite bawah 84 kilogram di Sukan Asia Hangzhou 2022 itu mengalami patah tangan ketika menjalani kem latihan di Vietnam, ketika masih dalam proses kembali ke prestasi terbaik selepas pulih daripada kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) pada lutut kanannya.
Kecederaan terbaharu itu menjadi satu lagi tamparan hebat buat atlet berusia 26 tahun berkenaan yang sebelum ini dianggap antara prospek terbaik karate Malaysia.
Arif pernah berada di kemuncak karier apabila mencipta sejarah menghadiahkan pingat emas buat Malaysia di pentas Sukan Asia Hangzhou, sekali gus muncul antara wira negara paling menyerlah ketika itu.
Namun, sinar tersebut mula malap apabila beliau mengalami kecederaan ACL ketika beraksi dalam Kejohanan Karate 1 Series A di Salzburg, Austria pada 2024.
Ketika proses pemulihannya hampir selesai, Arif sekali lagi diuji apabila terbabit dalam kemalangan jalan raya pada Januari tahun lalu, sekali gus menyebabkan beliau terlepas peluang beraksi di Sukan SEA Thailand.
Kini, ketika harapan kembali menyala untuk mempertahankan gelaran di Sukan Asia, kecederaan patah tangan yang dialami di Vietnam sekali lagi memusnahkan impiannya.
Persoalan kini, mampukah Arif bangkit sekali lagi selepas melalui episod kecederaan demi kecederaan, atau adakah emas bersejarah di Hangzhou akan menjadi kemuncak terakhir dalam karier atlet yang pernah digelar “The Karate Kid” Malaysia?
Jawapan itu hanya mampu diberikan oleh Arif sendiri, namun satu perkara pasti, semangat juangnya sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini telah membuktikan bahawa seorang juara bukan hanya dinilai ketika menang, tetapi juga melalui keberanian untuk bangkit setiap kali diuji.