Pendahulu keseluruhan kategori CP150, Kasma Daniel Kasmayuddin, menjangkakan saingan yang sengit di perlumbaan utama, pusingan keenam Petronas MAM Malaysian Cub Prix di Litar LYL, malam tadi.
Kasma turut berkongsikan faktor perlumbaan pada sebelah malam buat kali pertama dalam sejarah penganjuran, bakal memainkan peranan besar dalam persiapan jentera dan turut mempengaruhi percaturannya untuk memburu podium tengah.
"Cuaca agak sejuk, jadi pelumba perlu memanaskan enjin lebih lama kerana jika suhu lebih tinggi maka kekuatan enjin lebih baik dan grid tayar.
"Agar sukar, saya rasa tiada pelumba yang dapat tambah baik prestasi untuk berlumba pada waktu malam.
"Saya rasa untuk perlumbaan nanti akan mencabar, saya dan pasukan akan cuba buat yang terbaik. Saya akan berlumba seperti biasa, jika ada rezeki lebih baik saya akan cuba menang, cuba sehabis baik naik podium.
"Tidak mudah, kami agak bergelut. Tetapi saya tetap akan berusaha." katanya.