Stadium Negeri, Pulau Pinang menjadi venue penuh bermakna buat Irfan Haykhal Amidi apabila pelumba itu meraih kejuaraan pertama dalam kariernya pada pusingan keempat Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026.
Irfan yang bersaing dalam kelas CP150 menamatkan perlumbaan di tempat pertama selepas menampilkan tunggangan konsisten dalam saingan sengit yang turut membabitkan Azroy Hakeem dan Kasma Daniel Kasmayuddin.
Perlumbaan utama turut dicemari kemalangan di selekoh tajam pada awal saingan, namun insiden itu tidak menjejaskan fokus Irfan untuk terus kekal dalam kelompok hadapan.
Sejak mula beraksi dalam CP150 dua tahun lalu, Irfan sering berdepan penamat mengecewakan yang menyebabkannya masih menanti kejuaraan sulung.
Namun, segala penantian itu berakhir di Batu Kawan apabila dia muncul pelumba pertama melintasi garisan penamat.
Azroy Hakeem menamatkan perlumbaan di tempat kedua, manakala Kasma Daniel Kasmayuddin melengkapkan podium.
Irfan mendedikasikan kemenangan sulungnya itu kepada bapanya, Amidi Zakaria, yang menjadi antara individu penting dalam perjalanan karier permotorannya.
Sementara itu, Muhammad Farid Hakimi Farid Sezli meneruskan momentum cemerlang apabila mempertahankan kejuaraan dalam saingan CP125 untuk perlumbaan kedua berturut-turut.
Selepas menjuarai pusingan ketiga di Jempol, Farid sekali lagi muncul juara menerusi tunggangan kemas di Stadium Negeri, Pulau Pinang.
Farid yang mengejar pendahulu, Idlan Haqimi Raduan, mendapat durian runtuh apabila jentera pendahulu daripada pasukan Zynergys Honda KC Racing mengalami masalah teknikal ketika perlumbaan berbaki lima pusingan.
Peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya Farid untuk meraih kemenangan kedua berturut-turut musim ini.
Pelumba berusia 20 tahun itu juga merupakan abang sulung daripada tiga beradik yang turut mewarnai saingan Cub Prix menerusi adiknya, Fairil Hazmi dalam kelas Wira KBS dan Farish Hafiy dalam CP150.
Kejayaan tersebut menjadi teladan tersendiri dalam keluarga Farid, selain mengukuhkan kedudukannya dalam usaha memburu mahkota kejuaraan keseluruhan selepas hanya beraksi separuh musim pada tahun lalu.