Dominasi jentera Honda jelas terserlah pada pusingan pertama Petronas MAM Malaysian Cub Prix di Tangkak apabila berjaya mengungguli tiga kategori utama.
Bagi kategori CP150, pasukan Honda Castrol Power 1 Yuzy Racing muncul juara sekali gus menamatkan penantian hampir sedekad tanpa kemenangan di Tangkak.
Advertisement
Pengurus pasukan, Shahrol Yuzy, meluahkan rasa syukur atas kejayaan tersebut yang dianggap cukup bermakna buat pasukan.
Sementara itu, pasukan Idemitsu Honda YAM Racing turut mencuri perhatian apabila berjaya meraih podium.
Pengurusnya, Ridwan Bakri, menyifatkan pencapaian itu sebagai detik bersejarah selepas empat tahun bersaing dalam kategori CP150.
Dalam kategori CP125 pula, kemenangan menjadi milik Zynergys Honda KC Racing Team, manakala kategori Wira menyaksikan kejayaan cemerlang Honda RS Megatech Racing Team.
Pengurus pasukan, Zaqhwan Zaidi, berharap momentum positif ini dapat diteruskan oleh semua pelumba bagi baki saingan musim ini.
Secara keseluruhan, keputusan pusingan pembukaan ini membuktikan kekuatan dan dominasi Honda, sekali gus memberi isyarat awal bahawa saingan musim 2026 bakal berlangsung sengit dengan tujuh lagi pusingan menanti.