Corporate Super Rugby (CSR) 2026 membuka tirainya dengan penuh sengit di EV Arena Elmina apabila Muamalat Bullets dan MBSA Blue Pelican mencatat kemenangan dalam aksi pembukaan.
Dua perlawanan yang berlangsung pada Pembuka Tirai CSR 2026 menampilkan intensiti tinggi, disiplin permainan serta semangat kompetitif daripada pasukan pasukan korporat yang mahu mencipta impak awal dalam saingan musim ini.
Bekas juara dua kali, Muamalat Bullets, memulakan kempen mereka dengan kemenangan 10-0 ke atas ATM Vanguard dalam perlawanan yang menyaksikan pasukan dari Angkatan Tentera Malaysia itu memberikan cabaran cukup kental.
ATM Vanguard tampil tersusun dan berdisiplin untuk mengekang asakan Muamalat Bullets, sekali gus memastikan perlawanan berlangsung seimbang dalam tempoh yang panjang.
Namun, pengalaman Muamalat Bullets akhirnya menjadi pemisah apabila pemain kebangsaan, Hariz Ezzat Hamidon, menghasilkan try penting pada babak kedua untuk membantu pasukannya mengesahkan kemenangan.
Ketua Jurulatih Muamalat Bullets, Mazuri Salehuddin, memuji ketahanan dan disiplin yangdipamerkan ATM Vanguard, sambil menegaskan bahawa pasukannya perlu meningkatkan prestasi sekiranya mahu memburu kejuaraan ketiga CSR.
“ATM Vanguard memberikan tentangan yang sangat baik dan mereka cukup sukar untuk ditembusi. Kami gembira dengan kemenangan ini, tetapi masih banyak perkara yang perlu diperbaiki. Jika mahu menjulang gelaran ketiga, kami perlu tampil lebih tajam dalam perlawanan seterusnya.”
Dalam satu lagi aksi, MBSA Blue Pelican mencipta kemenangan bergaya 48-13 ke atas Ragbi PDRM dalam pertemuan dua pasukan yang pertama kali bersaing dalam CSR.
Mewakili Majlis Bandaraya Shah Alam, MBSA Blue Pelican mempamerkan permainan
menyerang yang kemas dan berkesan, dengan bekas tonggak kebangsaan Mohammad Nazreen Fitri muncul Pemain Terbaik Perlawanan.
Nazreen menyumbang 24 mata menerusi ketepatan sepakan penalti dan conversion, sekali gus menjadi watak utama dalam kemenangan besar pasukannya pada aksi pembukaan.
Ketua Jurulatih MBSA Blue Pelican, Faridzal Ismail menyifatkan kemenangan tersebut sebagai permulaan positif, namun mahu pemainnya terus bekerja keras dan tidak terlalu selesa.
“Kami menghargai usaha semua pemain malam ini. Mereka menunjukkan disiplin sertakomitmen yang baik, tetapi perjalanan masih panjang dan masih banyak ruang untuk kamiperbaiki. Perlawanan menentang Muamalat Bullets nanti pastinya satu ujian yang berbeza,dan kami perlu membuat persiapan sebaik mungkin.”
Bagi Ragbi PDRM, walaupun tewas dalam aksi pertama, pasukan yang mewakili Polis Diraja Malaysia itu tetap menunjukkan potensi untuk berkembang sepanjang musim.
Jurulatih Ragbi PDRM, Zulkiflee Azmi, berkata pasukannya sedang membina keserasian menerusi gabungan pemain berpengalaman dan bakat muda.
“Kami masih dalam proses membentuk kombinasi terbaik antara pemain senior dan pemain muda. Keputusan ini memberi kami banyak pengajaran, dan kami perlu menunjukkan peningkatan yang lebih jelas dalam perlawanan akan datang.”