Cristiano Ronaldo dan tunangnya, Georgina Rodriguez, dilaporkan menangguhkan majlis perkahwinan mereka yang sebelum ini dirancang berlangsung sejurus tamat Piala Dunia 2026.
Pasangan itu pada asalnya merancang untuk berkahwin selepas kejohanan berakhir, namun rancangan tersebut berubah susulan kegagalan Portugal meneruskan cabaran dalam Piala Dunia.
Sebelum kejohanan bermula, Ronaldo pernah memberitahu wartawan Britain, Piers Morgan, bahawa dia berharap dapat menjulang trofi Piala Dunia sebelum mendirikan rumah tangga bersama Georgina.
Bagaimanapun, impian itu tidak kesampaian apabila Portugal tersingkir di pusingan 16 terbaik selepas tewas 0-1 kepada Sepanyol. Kekalahan tersebut dipercayai menjadi antara faktor majlis perkahwinan itu ditangguhkan.
Sehingga kini, Ronaldo dan Georgina masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai laporan berkenaan.
Pasangan itu mengikat tali pertunangan pada tahun lalu selepas hampir sedekad bersama. Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Alana Martina dan Bella Esmeralda, selain turut membesarkan anak-anak Ronaldo daripada hubungan terdahulu.
Pada usia 41 tahun, Ronaldo sebelum ini memberi bayangan bahawa Piala Dunia 2026 adalah penampilan terakhirnya di pentas terbesar bola sepak dunia.
Walaupun Portugal gagal melangkah lebih jauh, Roanldo tetap mencipta sejarah sebagai pemain pertama menjaringkan gol dalam enam edisi Piala Dunia.