Rekod sempurna MBSA Blue Pelican bakal diuji dalam perlawanan paling penting musim ini apabila mereka berdepan Muamalat Bullets pada Final CSR Championship 2026, Sabtu ini. Keyakinan kedua-dua pasukan menjelang pertembungan itu terserlah dalam CSR Championship Media Scrum yang berlangsung hari ini di Enervive Sports, Subang. Final dijadualkan pada 17 Oktober 2026, jam 8.45 malam.
MBSA MAHU LENGKAPKAN MUSIM SULUNG DENGAN GELARAN
MBSA menamatkan saingan liga tanpa kalah, termasuk menewaskan Muamalat 27-14. Namun, bagi Ketua Jurulatih merangkap pemain MBSA, Faridzal Ismail, pencapaian itu hanya menjadi permulaan kepada misi pasukan untuk menjulang gelaran. “Kami sudah bersedia sepenuhnya untuk final ini. Walaupun ini musim pertama MBSA dalam kejohanan, sasaran kami tetap jelas: memberikan komitmen 100 peratus dan berjuang untuk membawa pulang gelaran.” Pemain MBSA, Umar Irsyad, berkata pasukannya mahu membuktikan kemampuan mereka dengan memenangi kejuaraan.
Beliau turut melihat gelaran itu sebagai hadiah buat bandaraya Shah Alam. “Bagi kami, final ini peluang untuk menunjukkan bahawa MBSA mampu bersaing pada tahap ini. Kalau dapat melangkah keluar sebagai juara, saya rasa itu akan menjadi hadiah yang sangat bermakna buat bandaraya Shah Alam.”
Kempen tanpa kalah meletakkan MBSA di kedudukan terbaik menjelang final, tetapi Muamalat menjadi halangan terakhir untuk mereka menutup musim sulung dengan kejayaan. Umar berkata pemain mahu membuktikan apa yang mampu dicapai pasukan di pentas penentuan.
MUAMALAT YAKIN MAMPU AKHIRI MUSIM DENGAN CEMERLANG
Pengarah Ragbi Muamalat Bullets, Ts Megat Mohammad Faisal pula berhasrat menamatkan musim dengan nota positif serta menjulang kejuaraan ketiga selepas mengharungi permulaan kempen yang terjejas oleh pelbagai kecederaan dalam skuad.
“Permulaan musim agak menguji apabila skuad berdepan pelbagai kecederaan. Namun, kami kini berada di final dan peluang untuk menamatkan kempen dengan cemerlang masih terbuka. Kami mahu memberikan yang terbaik.”
Bagi pemain Bullets, Hariz Ezzat Hamidon, perlawanan itu juga menjadi peluang untuk menuai hasil daripada perjalanan ragbinya. Beliau menghargai kesinambungan kerjaya yang disokong ekosistem Enervive Sports, bermula dengan pengiktirafan Pemain Backline Terbaik pada kempen Super Schools Rugby 2019. Kini, Hariz mahu membantu Muamalat meraih kejayaan.
Selain perebutan gelaran, CSR Championship 2026 Bronze Clash antara ATM Vanguard dengan Ragbi PDRM akan berlangsung pada hari yang sama, 17 Oktober, jam 4.30 petang. Dua perlawanan bakal menentukan penamat musim: ATM Vanguard dan Ragbi PDRM akan berentap merebut tempat ketiga, sebelum MBSA Blue Pelican dan Muamalat Bullets turun ke padang untuk merebut kejuaraan CSR Championship 2026.