Inter Milan melengkapkan musim luar biasa mereka apabila berjaya menjulang Coppa Italia 2026 selepas menewaskan Lazio 2-0 dalam aksi final di Stadio Olimpico.
Kemenangan itu sekali gus memastikan skuad Nerazzurri meraih gelaran berganda domestik musim ini selepas sebelum ini turut mengesahkan kejuaraan Serie A.
Advertisement
Inter tampil cukup dominan sejak awal permainan dan berjaya membuka jaringan menerusi gol sendiri pemain Lazio, Adam Marusic, pada minit ke-14.
Kapten pasukan, Lautaro Martinez, kemudian menggandakan kelebihan Inter pada minit ke-35 hasil gerakan pantas yang disusun rapi jentera serangan mereka.
Walaupun Lazio cuba bangkit pada separuh masa kedua, benteng pertahanan Inter yang diketuai barisan pemain berpengalaman berjaya mengekang segala usaha lawan sehingga wisel penamat.
Kejayaan tersebut menyaksikan Inter merangkul trofi Coppa Italia ke-10 dalam sejarah kelab sekali gus mengukuhkan status mereka sebagai antara pasukan paling berjaya di Itali.
Lebih manis, musim pertama Cristian Chivu sebagai ketua jurulatih turut dihiasi kejayaan besar apabila berjaya membawa Inter menguasai bola sepak domestik Itali.
Dominasi Inter musim ini jelas memperlihatkan kekuatan skuad yang seimbang di semua posisi selain mentaliti juara yang terus menjadi identiti utama kelab gergasi dari Milan itu.