Ferran Torres serta Lamine Yamal muncul penjaring ketika Barcelona menang 2-0 ke atas Racing Santander sekali gus mara ke suku akhir Copa del Rey, awal pagi tadi.
Jaringan dua pemain antarabangsa Sepanyol itu membolehkan penyandang juara menyingkirkan pendahulu Divisyen Dua dalam aksi pusingan 16, sementara merekod kemenangan ke-11 berturut-turut dalam semua pertandingan.
Advertisement
Tuan rumah turut menyaksikan dua gol dibatalkan kerana ofsaid, namun juara 32 kali Copa del Rey itu tidak mampu dihalang untuk mengesahkan kemenangan.
Penyingkiran Real Madrid tersingkir di tangan kelab divisyen dua, Albacete, semalam menyaksikan pengendali Barca, Hansi Flick, menurunkan kesebelasan utama.
Aksi terpaksa ditangguh 15 minit ekoran penyokong yang terkandas di luar Stadium Sardinero, sebelum Barca segera mendominasi penguasaan bola.
Gol yang dinanti-nanti akhirnya tiba menerusi Torres selepas Fermin Lopez melorongkan bola kepadanya untuk menewaskan penjaga gol Racing, Jokin Ezkieta.
Tuan rumah meningkatkan asakan serangan dan dua kali berjaya membolosi gawang Barcelona, namun kedua-dua jaringan Manex Lozano dibatalkan kerana ofsaid.
Barca mengesahkan kemenangan dengan sentuhan terakhir perlawanan apabila Yamal menyudahkan hantaran lintang Raphinha.