Skip to main content

Bola Sepak

Cherki-Haaland mengganas, Man City teruskan rentak sempurna

Cherki-Haaland mengganas, Man City teruskan rentak sempurna

Rayan Cherki dan Erling Haaland muncul watak utama ketika Manchester City meneruskan permulaan sempurna dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kemenangan 4-1 ke atas Crystal Palace di Selhurst Park, awal pagi tadi.

Kedua-dua pemain masing-masing meledak dua gol untuk membantu City mencatat kemenangan kedua berturut-turut, sekali gus mengumpul maksimum enam mata daripada dua perlawanan.

Palace yang beraksi di laman sendiri bermula dengan agresif, namun City membuka jaringan pada minit ke-17.

Haaland melonjak tinggi untuk menyambut hantaran silang Antoine Semenyo sebelum menghasilkan tandukan lambung yang gagal diselamatkan Dean Henderson.

Gol itu turut menjadi jaringan pertama penyerang Norway berkenaan dalam kempen liga musim ini.

Perlawanan berlangsung dalam tempo tinggi dengan kedua-dua pasukan saling mencipta peluang, namun City berjaya menambah jaringan selepas rehat.

Cherki mencuri tumpuan pada minit ke-54 apabila pemain Perancis itu memperdaya pertahanan Palace sebelum melakukan penyudah untuk menggandakan kelebihan City.

Tuan rumah bagaimanapun mendapat gol saguhati hanya dua minit kemudian menerusi jaringan sendiri penjaga gol City, Gianluigi Donnarumma.

Sepakan percuma Yeremy Pino terkena palang sebelum bola melantun mengenai belakang Donnarumma, tiang dan akhirnya masuk ke gawang.

Namun, kebangkitan Palace tidak bertahan lama.

Cherki kembali menghukum tuan rumah pada minit ke-59 apabila percubaannya terkena Chris Richards sebelum bola menerjah gawang untuk melengkapkan malam dua golnya.

Haaland kemudian melengkapkan pesta gol City lima minit sebelum tamat permainan apabila menerima hantaran Phil Foden sebelum melepaskan rembatan kaki kiri.

Pengurus City, Enzo Maresca, mengakui pasukannya memerlukan beberapa minit untuk menyesuaikan diri sebelum mengawal permainan.

“Pada lima atau 10 minit pertama, kami dapat lihat betapa sukarnya perlawanan ini. Padang sukar dan lawan juga mencabar.

“Selepas 10 minit, kami mula mengawal permainan dengan dan tanpa bola dan kami layak menang,” katanya.

Maresca turut memuji Cherki dan Haaland, selain memberikan sokongan kepada Foden yang memainkan beberapa peranan berbeza dalam jentera serangan City.

Menurutnya, Foden kelihatan lebih selesa apabila bergerak ke bahagian tengah dan bermain di belakang Haaland.

City kini mempunyai hampir seminggu untuk berehat sebelum menentang pasukan yang baru dinaikkan ke EPL, Coventry City.

Bagaimanapun, ujian lebih besar menanti selepas itu apabila City akan bertandang ke Old Trafford untuk berdepan Manchester United dalam aksi derby pertama mereka musim ini.

Anda mungkin berminat dengan

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

Must Watch Video

Advertisement