Pasukan Wanita Chelsea mencipta sejarah sebagai kelab pertama dalam Liga Super Wanita England (WSL) yang menyediakan dana khusus untuk pemain menjalani rawatan kesuburan termasuk pembekuan telur.
Dana berkenaan difahamkan bernilai sekurang-kurangnya £189,000 (kira-kira RM1.08 juta) dan mencukupi untuk membiayai pembekuan telur bagi keseluruhan skuad Wanita Chelsea.
Setiap musim, kesemua 27 pemain skuad berkenaan akan diberikan peluang menggunakan sejumlah peruntukan daripada dana tersebut untuk mendapatkan perkhidmatan di klinik Fertility Plus di Harley Street, London.
Kos pembekuan telur di klinik berkenaan ialah £6,995 dengan caj penyimpanan tambahan £425 setahun.
Dana itu turut boleh digunakan untuk rawatan persenyawaan in-vitro (IVF), selain rawatan ginekologi seperti ujian saringan, kontraseptif dan konsultasi berkaitan kitaran haid.
Proses pembekuan telur biasanya mengambil masa kira-kira tiga minggu.
Pemain perlu mengambil suntikan setiap hari selama kira-kira dua minggu sebelum menjalani prosedur di hospital untuk mendapatkan telur yang kemudiannya dibekukan.
Sekiranya ingin digunakan pada masa akan datang, telur berkenaan perlu dinyahbekukan dan disenyawakan dengan sperma bagi menghasilkan embrio.
Pakar sakit puan dan pengasas bersama Fertility Plus, Dr Amit Shah, berkata kebanyakan wanita boleh kembali bekerja hampir serta-merta selepas prosedur, namun situasinya mungkin berbeza bagi atlet profesional.
Dalam dunia sukan, kapten kriket wanita England, Nat Sciver-Brunt, pernah terlepas satu perlawanan T20 menentang Pakistan pada 2024 bagi menjalani prosedur pembekuan telur sebelum kembali beraksi pada minggu berikutnya.
Bagaimanapun, langkah Chelsea itu turut mencetuskan perdebatan mengenai isu kesuburan dan hak atlet wanita.
Atlet lompat kijang Olimpik Sepanyol, Ana Peleteiro-Compaoré Brión, mempersoalkan sama ada kemudahan pembekuan telur benar-benar bertujuan membantu atlet menjadi ibu atau sekadar membolehkan struktur sukan mengekalkan atlet dalam kerjaya lebih lama.
Menurutnya, sukan sepatutnya menyesuaikan struktur agar kehamilan dan keibuan dapat berlaku sepanjang kerjaya, bukannya mengubah masa reproduktif wanita supaya terus menepati kehendak kerjaya.
Namun, Dr Shah menegaskan pemain Chelsea tidak diwajibkan membekukan telur mereka.
Sebaliknya, ia merupakan pilihan yang disediakan kepada pemain dan kelab tidak akan menentukan bila seseorang pemain perlu menjalani rawatan.
Isu berkenaan penting kerana tempoh kemuncak kerjaya atlet wanita sering berlaku ketika usia paling subur, khususnya antara 20 hingga 29 tahun.
Pembekuan telur beberapa tahun sebelum bersara boleh memberikan lebih banyak pilihan kepada atlet yang mahu mempunyai anak selepas tamat kerjaya.
Namun, Jo Perkins, ketua kesihatan dan prestasi wanita di Well HQ, mengingatkan bahawa pembekuan telur bukanlah “insurans kesuburan”.
Menurutnya, usia masih memainkan peranan penting dan pembekuan telur tidak menjamin seseorang wanita boleh mendapatkan anak pada masa akan datang.
Beberapa atlet wanita terkenal seperti Serena Williams juga membuktikan bahawa kehamilan tidak semestinya menamatkan karier sukan apabila beliau kembali beraksi dalam kejohanan Grand Slam selepas setiap kehamilannya.
Di Amerika Syarikat, pemain WNBA boleh mendapat bayaran balik sehingga AS$20,000 (kira-kira RM84,000) setahun untuk kos rawatan kesuburan, dengan had AS$60,000 sepanjang karier.
Persatuan Tenis Wanita (WTA) pula memperkenalkan dasar yang melindungi ranking pemain sekiranya mereka meninggalkan saingan untuk melahirkan anak atau menjalani prosedur kesuburan seperti pembekuan telur atau embrio.
Chelsea menjadi kelab WSL pertama mengambil langkah menyediakan pembiayaan secara langsung, dan beberapa kelab lain dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mengikuti pendekatan tersebut.