Debaran menjelang bermula Peringkat 1 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) semakin terasa, biarpun penganjur mendapat khabar mencemaskan, kurang 24 jam sebelum pelepasan Shah Alam-Kampar sejauh 193km, pagi esok.
Ini kerana, pakar pecut XDS-Astana, Matteo Malucelli yang dianggap antara bintang dalam edisi ke-30 ini, mengalami kemalangan dengan peluangnya muncul di garis mula esok, masih samar-samar.
Raja Pecut 2024 dan mengumpul koleksi enam kemenangan peringkat dalam LTdL itu terjatuh selepas gagal mengawal basikalnya ketika melalui selekoh berpasir dan terpaksa menerima rawatan dan pemeriksaan lanjut, biarpun pelumba Itali berusia 32 tahun itu sendiri masih mahu ke garis mula, esok.
Rakan sepasukan, Aaron Gate berkata, sekalipun tidak menjangka situasi seperti itu akan berlaku, Astana tetap optimistik dengan barisan sedia ada, meskipun jika terpaksa kehilangan Malucelli.
Menurutnya, meskipun di atas kertas laluan dilihat begitu mencabar pada edisi kali ini, peluang tetap seimbang buat mana-mana pendaki di laluan berbukit dan pakar pecut di laluan landai untuk menang.
LTdL26 kali ini dianggap menghidangkan laluan paling mencabar dengan tiga pendakian ke puncak di Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands yang menyebelahi pakar pendaki manakala baki lima peringkat lain dianggap landai dan memberi peluang sama rata buat semua pelumba pecut.
Dalam sidang media khas yang dihadiri Gate, Fernando Gaviria (Caja Rural-Seguros RGA); Geoffrey Bouchard (TotalEnergies); Lennart Jasch (Tudor Pro Cycling); Jonathan Klever Caicedo (Wheeltop Rotor Chengdu Cycling Team); dan dua pelumba Malaysia Muhammad Izzat Hilmi Abdul Halil dan Muhammad Nur Aiman Rosli (Terengganu Cycling Team), situasi itu jelas tidak mengganggu fokus Gate, pasukan Astana atau pelumba pasukan lain.
“Malucelli hanya tidak bernasib baik tetapi Astana sendiri masih mempunyai Gleb Syritsa dan Lev Gonov. Malah (Harold) Martin Lopez juga semakin menemui sentuhannya selepas mengharungi kesukaran di Giro d’Italia lalu.
“Saya sendiri berasa gembira untuk kembali ke LTdL ini selepas berjaya membantu (Nicolas) Vinokurov dan menang satu peringkat tahun lalu,” kata Gate yang membuat kejutan memenangi Peringkat 8 Tangkak-Kuala Lumpur tahun lalu.
Gaviria, pakar pecut kelahiran Colombia dengan koleksi 52 kemenangan dalam kariernya, termasuk lima peringkat di Giro dan dua di Tour de France, hanya fokus kepada kayuhan sendiri dalam penampilan kali pertamanya di negara ini.
“Saya gembira berada di sini, dan sedar Caja Rural mempunyai rekod yang baik dalam LTdL ini sejak beberapa tahun lalu. Saya berlumba semula di Itali minggu lalu (selepas berehat dua bulan kerana kemalangan di Tour de France) dan berasa keadaan semakin baik.
“Saya menyifatkan LTdL ini bagus kerana ada laluan yang sesuai untuk pakar pecut, sambil berharap dapat membantu pasukan mengejar kedudukan dalam klasifikasi individu (GC). Ini memberi motivasi bagi saya,” kata Gaviria yang menyertai Caja Rural tahun ini, selepas bersama-sama pasukan WorldTeam seperti Movistar, UAE Team Emirates dan Quickstep sebelum ini.
Bagi tiga pendaki pilihan - Bouchard, Jasch dan Caicedo yang tampil kali pertama di Malaysia - kesemuanya lebih mengambil pendekatan tunggu dan lihat.
“Saya kurang mengetahui mengenai LTdL dan Malaysia tetapi pasukan (TotalEnergies) meraih keputusan yang bagus di sini. Jadi kehadiran kami di sini dianggap sesuatu yang istimewa.
“Saya cuma berharap sentiasa aktif setiap hari dan menghasilkan keputusan baik di peringkat (berbukit) dan keseluruhan GC. Malah, saya seronok berlumba di negara asing pada penghujung karier ini,” kata Brouchard, 34, yang bercadang untuk bersara selepas ini.
Nada sama dikongsi Jacsh dan Caicedo yang berharap dapat menggunakan peluang yang ada untuk menguji suasana perlumbaan dengan tiga pendakian dianggap ‘gila’ kerana ada pendakian curam dan ada pendakian panjang.
“Ini cukup menarik dan saya sendiri mahu melihat siapa yang akhirnya berhak bergelar pemenang,” kata Jasch, 25, Raja Bukit dengan 1 kemenangan Peringkat di Tour of the Alps tahun ini.
Caicedo pula menyifatkan kondisi tubuhnya sudah bersedia untuk berkayuh dalam LTdL26 ini, biarpun pertama kali datang ke Malaysia.
“Saya gembira berada di sini dan kecergasan juga di tahap terbaik. Sasaran peribadi adalah berada dalam kelompok 10 terbaik GC dan kita lihatlah beberapa hari ini. Saya sudah bersedia,” kata pelumba Colombia berusia 33 tahun yang pernah bersama pasukan WorldTeam EF Education di Giro dan terbaru muncul juara di Magnificent Tour of Qinghai Lake, tahun ini.
Sementara itu, dua pelumba negara yang mewakili dua pasukan Benua berbeza, Izzat Hilmi dan Aiman Rosli berharap membuat kejutan apabila peloton berkayuh ke negeri Johor.
“Saya akan mencuba yang terbaik dan berharap dapat melakukan sesuatu yang membanggakan hingga berdiri di podium apabila kayuhan berakhir di kampung saya di Batu Pahat (Peringkat 7 Melaka-Batu Pahat),” kata Izzat Hilmi yang masih segar dengan gelaran juara kebangsaan 2026, beberapa minggu lalu.
Harapan sama diluahkan Aiman Rosli yang membuat kejutan menduduki tempat kedua dalam Peringkat 7 Melaka-Medini pada tahun lalu.
“Tahun ini pun ada membabitkan kampung saya (Peringkat 8 Muar-Putrajaya). Peluang tetap 50-50 dan mungkin saya guna taktik breakaway yang sama,” kata Aiman yang meraih gelaran juara kebangsaan ujian masa individu (ITT) buat kali ketujuh berturut-turut dalam kejohanan kebangsaan, beberapa minggu lalu.
Apapun, edisi ke-30 LTdL26 kali ini yang dianggap jelajah paling sukar sepanjang penganjurannya sejak 1996 disebabkan tiga pendakian ke puncak di Peringkat 2 (Gunung Jerai), Peringkat 4 (Cameron Highlands) dan Peringkat 5 (Genting Highlands), amat sukar diramal.
Dengan cuaca dijangka tidak menentu, panas ekstrim dan hujan lebat, kemampuan pelumba akan diuji ke tahap maksimum di sepanjang lapan hari, lantas menjadikan pentas perebutan empat jersi utama iaitu jersi pendahulu oren tajaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS); jersi polka dot Raja Bukit tajaan Bubbles O2; jersi biru Raja Pecut tajaan (Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA dan Para Games 2027) serta jersi putih Pelumba Terbaik Asia tajaan Majlis Sukan Negara (MSN) diramal berlangsung sengit sehingga ke penghujung.
LTdL26 yang akan bermula dengan Peringkat 1 Shah Alam ke Kampar sejauh 190km hari ini akan berakhir dengan Peringkat 8 Muar-Putrajaya sejauh 183.8km, membabitkan jarak keseluruhan 1,285.5km.
Jelajah berstatus 2.ProSeries itu dianjurkan KBS menerusi MSN dan mendapat kerjasama penuh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).