Celtic memecat Wilfried Nancy hanya selepas 33 hari pelantikannya dan kembali menagih khidmat bekas pengurus, Martin O'Neill, hingga akhir musim ini selepas kekalahan 1-3 dalam pertemuan 'Old Firm' kepada musuh ketat, Rangers, hujung minggu lalu.
Kekalahan itu menyebabkan juara bertahan di tangga kedua liga dan enam mata di belakang pendahulu, Hearts, selepas 20 perlawanan.
Advertisement
"Kami tahu kami berada dalam satu persaingan yang sengit.
"Kami akan cuba memenangi liga," kata O'Neill di laman sesawang kelab.
"Walaupun tidak pernah mudah tetapi kami kini berjuang di pertengahan musim, kami berdepan saingan yang hebat jadi kami perlu hadapi cabaran ini."
O'Neill, 73, memenangi tujuh daripada lapan perlawanannya dalam tempoh keduanya sebagai pengurus Celtic sebelum menyerahkan tugasannya kepada Nancy.
Pengurus dari Perancis berumur 48 tahun itu dilantik bulan lalu tetapi sekadar menang dua kali dalam lapan perlawanan serta gagal mengekalkan satu pun perlawanan tanpa bolos.