Kapten Selangor Pistons, Farhan Adam, menyifatkan kejutan yang berlaku dalam saingan Divisyen 1 CelcomDigi Liga Sepak Takraw (STL) 2026 sebagai isyarat jelas tiada lagi istilah pasukan pilihan dalam kejohanan itu.
Tegas pengumpan itu, yang mesra disapa Emon, Pistons tidak sesekali akan mengambil mudah cabaran setiap pasukan di pentas Premier, yang akan bermula dengan Grand Prix Perak di Ipoh pada 21 Oktober ini.
Dia percaya, kehadiran dua tenaga import, iaitu tekong antarabangsa Filipina, Jom Lerry Rafael, dan perejam Thailand, Nonthanan Sombatlay, mampu memperkukuhkan pasukan mereka musim ini.
"Sudah pasti kami tidak boleh mengambil mudah setiap perlawanan dan pasukan dalam Divisyen Premier," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
"Ia sudah terbukti dalam Divisyen 1, di mana apa sahaja boleh berlaku, jadi kami mengambil iktibar.
"Insya-Allah, Selangor Piston pasti akan memberikan yang terbaik dan memberikan saingan kepada semua pasukan yang bersaing dalam Liga Premier."
Untuk rekod, kejutan besar berlaku di saingan Divisyen 1 apabila pasukan pilihan, Pahang Mammoth dan Terengganu Turtles, gagal ke final dan gagal meraih tempat ke Divisyen Premier.