Sabah Mountaineers mengesahkan kemaraan ke suku akhir STL 2026 Divisyen 1 selepas mencatat kemenangan kedua berturut-turut, manakala PSM-SSM Mavericks terpaksa menamatkan perjalanan mereka di peringkat kumpulan.
Dalam aksi Kumpulan B, Sabah Mountaineers menundukkan Perlis Vipers 2-0 dengan keputusan 15-13, 15-11 untuk mengumpul dua kemenangan daripada dua perlawanan.
Gandingan Sarip Shahari (apit kiri), Thanawat Chumsena (tekong) dan Mohd Norizam (apit kanan) tampil kemas untuk membantu Sabah mengawal permainan dan memastikan kemenangan straight set.
Kemenangan itu sekali gus mengesahkan tempat Sabah Mountaineers ke suku akhir, manakala Perlis Vipers yang baru beraksi dalam satu perlawanan masih mempunyai peluang untuk meneruskan cabaran bergantung kepada keputusan aksi seterusnya.
Sementara itu, di Kumpulan C, Terengganu Turtles mencatat kemenangan penting selepas bangkit daripada kehilangan set pertama untuk menewaskan PSM-SSM Mavericks 2-1.
PSM-SSM Mavericks terlebih dahulu mencuri set pembukaan 15-9, namun Terengganu Turtles mengubah rentak permainan untuk memenangi dua set berikutnya 15-7, 15-3.
Terengganu menampilkan Saenkrai Dowrueng (apit kanan), Meor Mohamad Zulfikar (tekong) dan Aidil Aiman (apit kiri) dalam kemenangan tersebut.
Kemenangan itu cukup penting buat Terengganu yang baru beraksi dalam satu perlawanan, sekali gus membuka peluang untuk mereka meneruskan saingan dalam kumpulan berkenaan.
Terengganu Turtles sebelum ini tersingkir ke Divisyen 1 selepas menamatkan saingan di tempat kedua tercorot STL Premier musim lalu.
Bagi PSM-SSM Mavericks pula, kekalahan tersebut menyaksikan mereka tewas dalam kedua-dua perlawanan kumpulan selepas sebelum ini turut gagal meraih kemenangan dalam aksi pertama.
Dengan dua kekalahan daripada dua perlawanan, perjalanan PSM-SSM Mavericks dalam STL 2026 Divisyen 1 berakhir di peringkat kumpulan.
Shekhinah PR, selaku Rakan Media Digital CelcomDigi STL, akan membawakan perkembangan terkini, berita dan liputan sepanjang musim CelcomDigi STL menerusi Flash Sukan. Layari www.flashsukan.com.my untuk mendapatkan lebih banyak berita dan perkembangan terkini mengenai CelcomDigi STL.