Melaka Titans bertekad memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila turun memburu keputusan positif dalam saingan Grand Prix (GP) Melaka yang membuka tirainya hari ini di Kompleks Sukan Bukit Serindit, Melaka.
Apit kanan Melaka Titans, Azlan Alias menegaskan seluruh pasukan berada dalam motivasi tinggi untuk memberikan aksi terbaik, selain berazam menampilkan semangat juang maksimum di hadapan penyokong sendiri.
“Kalau bagi saya, mood pasukan Melaka Titans untuk GP Melaka ini adalah untuk turun dengan garang dan memberikan 100 peratus,” katanya.
Melaka Titans dijadual membuka kempen dalam Kumpulan A dengan menentang Penang Black Panthers malam ini, sekali gus berdepan ujian awal dalam usaha memburu kemaraan ke peringkat seterusnya.
Sementara itu, apit kanan Perak Bison, Nazrein Daniel mengakui pengalaman beraksi bersama dua pemain berpengalaman, Amirul Zazwan dan Pornthep Tinbangbon menjadi cabaran besar buat dirinya ketika GP Penang sebelum ini.
Menurutnya, proses membina keserasian pada peringkat awal mengambil masa memandangkan beliau masih baharu beraksi bersama gandingan berkenaan, namun pengalaman daripada satu perlawanan ke satu perlawanan membantunya menyesuaikan diri sehingga berjaya melangkah ke final GP Penang.
“Dekat GP Penang, untuk saya nak selesakan dengan Amirul dan Pornthep itu satu ujian yang berat bagi saya. Mereka mempunyai pengalaman yang banyak, jadi untuk mereka mendapatkan keserasian dengan cepat lebih mudah, manakala saya pula masih baharu dan mengambil sedikit masa.
“Saya bersyukur kerana dapat belajar dengan cepat dari satu perlawanan ke satu perlawanan sehingga ke final GP Penang,” katanya.
Nazrein turut mengakui tekanan yang dihadapinya sepanjang kejohanan sebelum ini hadir dalam dua bentuk, iaitu usaha membina keserasian bersama rakan sepasukan dan tanggungjawab untuk mengekalkan kejuaraan selepas berjaya muncul juara GP Penang.
“Tekanannya 50-50 kerana pada permulaan, tekanan lebih kepada usaha mencari keserasian. Namun, semakin lama semuanya semakin baik, bukan sahaja dalam gelanggang malah di luar gelanggang juga.
“Cuma tekanan yang satu lagi adalah untuk mengekalkan kejuaraan,” katanya.
Perak Bison yang hadir dengan status juara GP Penang akan memulakan cabaran dalam saingan GP Melaka esok apabila dijadual berdepan tuan rumah, Melaka Titans.
Pertemuan itu pastinya menjadi tumpuan apabila Melaka Titans mahu menggunakan kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri, manakala Perak Bison berusaha meneruskan momentum kemenangan selepas kejayaan di GP Penang.
Shekhinah PR, selaku Rakan Media Digital CelcomDigi STL, akan membawakan perkembangan terkini, berita dan liputan sepanjang musim CelcomDigi STL menerusi Flash Sukan. Layari www.flashsukan.com.my untuk mendapatkan lebih banyak berita dan perkembangan terkini mengenai CelcomDigi STL.