Johor Tigris mencipta kejutan apabila menewaskan barisan bintang Negeri Sembilan Antlers 2-1 dalam aksi suku akhir Grand Prix Perak, CelcomDigi Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium Indera Mulia, Ipoh sebentar tadi.
Membariskan Zuhri Zain (tekong), Lutfil Hadi Azmi (pengumpan) dan Nattapong Kotchapaksri (perejam), Tigris tidak gentar berdepan tiga pemain kebangsaan yang disenaraikan Antlers, iaitu Haziq Nizam (tekong), Zulefendi Sumari (pengumpan) dan Hafizul Hayazi Adnan (perejam), di mana mereka memenangi set pertama 17-15.
Antlers, yang memasukkan tekong import, Siwatbancha Seekhwa, dalam set kedua, berhasil menyamakan kedudukan hasil kemenangan 17-15.
Bagaimanapun, servis konsisten yang dilakukan Zuhri menyaksikan Tigris berhasil meloloskan diri ke separuh akhir selepas mencatatkan kemenangan 15-8.
Mereka seterusnya akan menantikan pemenang di antara PDRM Defenders dan Kelantan Warriors bagi penentuan ke final esok.