Tonggak import KL Thunder, Supasin Boonrueng, mahu pastikan kelibatnya mampu menghadirkan kelainan dalam kancah CelcomDigi Sepak Takraw League (STL) musim ini.
Hadir dengan kapasiti selaku bekas pemain kebangsaan Thailand, aura yang dibawanya menerusi ketika eranya masih mampu menghadirkan gerun pihak lawan.
Supasin salah seorang daripada pemain yang menjulang Piala Raja Thai dua tahun lalu dan kini dia sedar misinya bersama KL Thunder adalah menghadirkan impak luar biasa.
"Saya pernah beraksi menentang Malaysia dalam Piala Raja Thai jadi saya nak guna pengalaman itu bersama KL Thunder.
"Sebagai pemain senior, saya bertambah semangat untuk menjadi pemimpin kepada pemain-pemain muda KL Thunder," kata pelibas itu di Nadi Arena.
Seiring dengan cabaran yang disuarakan Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan, yang juga merupakan Presiden Persatuan Sepaktakraw Wilayah Persekutuan, kelibat pemain muda adalah wajah yang akan mempertahankan KL Thunder musim ini.
Demi kelangsungan sepak takraw yang tidak mahu hanya didominasi muka yang sama dalam tempoh waktu yang panjang, KL Thunder yakin kelibat pemain muda mampu merealisasikan kedudukan empat terbaik sebagai sasaran musim ini.
"Kali ini kami buat kelainan dengan KL Thunder akan membawa cabaran bersama muka-muka baru, hanya Redwan Hakim sahaja sebagai muka lama.
"Langkah ini juga unutk membantu pasukan negara pada masa akan datang dengan menonjolkan bakat muda," kata pengurus pasukan, Herman Shah Ramli.