Terengganu Marvels mengekalkan penguasaan di tangga teratas CelcomDigi Netball Super League (NSL) apabila mudah membelasah Selangor Angels di Stadium Juara Bukit Kiara sebentar tadi.
Selepas menumbangkan pasukan pilihan, Johor Jewels, semalam, Marvels jelas berada dalam kelas tersendiri, di mana gandingan Siti Maisarah Affandi dan Tendai Masamba menghasilkan 21 mata sepanjang suku pertama, pada ketika Angels hanya mampu membalas dengan enam mata.
Advertisement
Marvels kemudian melebarkan kelebihan itu kepada 38-12 selepas separuh masa, memberikan satu lagi gambaran episod duka bakal dilalui Angles, yang masih memburu kemenangan pertama musim ini.
Kemasukan pemain senior, Izyan Syazana Wazir, dalam suku ketiga menambah sengat bahagian depan Marvels untuk mereka menamatkan suku itu dengan pendahuluan 56-19 sebelum mengakhiri permainan dengan kemenangan 71-26.
Kejayaan itu menyaksikan Marvels mengekalkan rekod kemenangan bersih kepada enam perlawanan dan kekal mendahului liga dengan 18 mata.
Angels pula kekal terperosok di tangga terbawah tanpa sebarang mata.