NSL 2026 mencipta sensasi apabila memperkenal NSL Regional Cup, himpunkan pemain-pemain bertaraf dunia yang akan bersaing selain CelcomDigi sertai NSL buat pertama kali sebagai penaja utama.
Netball Super League (NSL) kembali untuk musim kelima pada tahun ini dengan beberapa perkembangan baharu termasuk penganjuran NSL Regional Cup buat julung kali serta penyertaan pemain antarabangsa bertaraf dunia dalam perlawanan. Kedua-dua elemen baharu ini bakal memperkukuh kedudukan liga sebagai platform bola jaring profesional yang semakin berkembang di rantau Asia.
Advertisement
Tidak ketinggalan, penyertaan CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) dalam NSL buat pertama kali sebagai penaja utama turut mencerminkan keyakinan sektor korporat terhadap potensi liga ini sebagai platform pembangunan bola jaring profesional wanita di Malaysia.
Astro dengan kerjasama Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) akan memulakan saingan NSL 2026 bermula dari 11 April hingga 17 Mei di Stadium Juara, Bukit Kiara. Sebanyak lapan pasukan bakal bersaing dalam 64 perlawanan sepanjang enam minggu kejohanan berlangsung.
Antara sorotan utama musim NSL 2026 ialah NSL Regional Cup, yang akan berlangsung dari 14 hingga 17 Mei 2026 selepas tamat saingan liga utama. Kejohanan ini akan menampilkan dua pasukan jemputan antarabangsa dari Singapura dan Hong Kong bersama dua pasukan teratas perlawanan NSL.
Selain itu, musim ini akan turut menyaksikan penyertaan sebanyak 16 pemain import dari beberapa pasukan bola jaring dunia, termasuk Australia, New Zealand, Jamaica, Afrika Selatan, Uganda, Malawi, Zimbabwe dan Botswana, yang dijangka meningkatkan lagi tahap persaingan liga serta memberi pendedahan kompetitif kepada pemain tempatan. Antara yang menjadi tumpuan pada musim ini ialah kehadiran beberapa pemain bertaraf dunia yang juga pernah beraksi di pentas Netball World Cup serta liga profesional elit, termasuk bekas pemain Australian Diamonds, Gretel Bueta, serta legenda Silver Ferns New Zealand, Laura Langman.