Skip to main content

Bola Sepak

CAS: Bekas tonggak kebangsaan seru semua pihak bermuhasabah

malaysia

"Semua pihak perlu belajar dan muhasabah diri dengan segala keputusan."

Demikian luahan bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar, menjelang keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengenai isu tujuh pemain 'Malaysian abroad'.

Advertisement

Sesi pendengaran kes yang dilangsungkan di Switzerland yang melibatkan tiga panel penimbang tara esok menjadi tumpuan seluruh warga bola sepak Malaysia selepas ia kini memasuki fasa kritikal.

Terdapat juga pelbagai andaian mengenai peluang Malaysia untuk mendapatkan keputusan daripada segi positif dan juga negatif.

"Jika keputusan memihak kepada kita sekalipun, adakah pemain warisan ini dibenarkan bermain untuk negara?

"Ini satu pengajaran bahawasanya agar untuk berada di puncak (dengan cara) selayaknya dan seadilnya.

"Adakah ia membawa padah kepada pasukan dan nama negara," katanya di Nadi Arena.

Namun, bagi Azlan, apa pun keputusan yang bakal diputuskan, rakyat Malaysia patut terima secara terbuka lebih-lebih lagi apabila isu ini juga timbul berpunca daripada pihak kita sendiri.

Juara Piala Malaysia 1986 bersama Gergasi Merah itu juga menekankan kepada 'orang baharu' Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang bakal dilantik kelak supaya belajar daripada segala yang telah terjadi, secara tidak langsung bersama-sama bangkit untuk menaikkan kembali bola sepak tanah air.

"Kita harus sedia terima apa sahaja keputusan daripada CAS.

"Mereka tiada warisan (pertalian darah) dengan Malaysia, jadi memang susah untuk keputusan CAS memihak kita.

"Kami masih bersemangat untuk melihat bola sepak negara terus maju. Kepada pengurusan baharu nanti, pastikan anda tunjuk minat yang mendalam untuk memajukan negara.

"Apa sahaja keputusannya, kita terima sebaik-baik dan melihat bola sepak terus menjadi sukan nombor satu Malaysia," katanya.

 

Must Watch Video