Pengurus Manchester United, Michael Carrick, tidak dapat menyembunyikan kekecewaan selepas pasukannya sekadar meraih satu mata ketika terikat 2-2 bertemu Everton, sambil mengakui keputusan itu terasa seperti satu kekalahan.
Carrick menyifatkan Manchester United sepatutnya mampu membawa pulang tiga mata, namun kegagalan mengawal permainan sehingga wisel penamat menyebabkan mereka terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri.
Manchester United membuka jaringan menerusi gol Bryan Mbeumo, sebelum Everton menyamakan kedudukan hasil rembatan jarak dekat Tyrique George.
Benjamin Sesko yang hadir daripada bangku simpanan kembali meletakkan United di hadapan, namun gol cantik Ainsley Maitland-Niles menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.
“Kecewa. Ia bukan perasaan yang hebat. Rasanya seperti satu kekalahan.
“Kami mendapat satu mata dan tidak boleh mengabaikannya, tetapi kami sepatutnya mendapat lebih.”
Menurut Carrick, kelemahan bertahan turut menjadi antara perkara yang perlu segera diperbaiki jika United mahu meningkatkan peluang untuk memenangi lebih banyak perlawanan.
“Ia terasa seperti kekalahan. Bukan perasaan yang baik ketika ini. Kami perlu bolos lebih sedikit untuk memberi diri kami peluang memenangi perlawanan.”
Beliau turut mengambil tanggungjawab atas kegagalan pasukan menutup permainan dengan baik, sambil mengakui keputusan seri itu berpunca daripada kesilapan mereka sendiri.
“Sedikit sebanyak ia berpunca daripada kami. Kami tidak menguruskan perlawanan dengan cukup baik sehingga tamat.
“Tidak dapat dinafikan, kami rasa sepatutnya kami memenangi perlawanan hari ini.”
Kenyataan Carrick jelas menggambarkan betapa besar kekecewaan di kem United apabila peluang meraih kemenangan terlepas daripada genggaman pada penghujung permainan.