Skip to main content

Berbasikal

Caicedo jadi taruhan Chengdu cabar jersi pendahulu

K

Belajar daripada kesilapan lalu, pasukan Benua dari China, Wheeltop Rotor Chengdu Cycling Team tampak cukup serius untuk menebus kelemahan dalam Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) yang akan membuka tirai pada 27 September ini.

Beberapa pasukan berdaftar dari China kurang menyerlah sejak kali terakhir Wang Meiyin yang mewakili Hengxiang Cycling Team membuat kejutan menang Peringkat 3 LTdL13 di Cameron Highlands. 

Selepas itu tiada pelumba mahupun pasukan profesional negara itu mampu memberi impak besar walaupun ada ketikanya ada dua pasukan China diundang.

Sebagai contoh pada 2024, Hengxiang dan Li Ning Star dijemput tetapi tiada keputusan membanggakan dengan Hengxiang menduduki tangga ke-16 berpasukan keseluruhan manakala Li Ning di tangga ke-19.

Malah Chengdu yang dikenali sebagai Chengdu DYC Cycling Team tahun lalu tampil dengan lima pelumba tetapi hanya Li Chaoyi saja mampu menamatkan kayuhan hingga ke akhir Peringkat 8 manakala empat rakan sepasukannya terkeluar lebih awal dalam saingan.

Tampil dengan nama penaja baharu Wheeltop Rotor Chengdu musim ini, pasukan yang disertai pengurus Zheng Xing itu membuat perancangan dan persiapan lebih rapi dengan mempertaruhkan pelumba berpengalaman kelahiran Ecuador, Jonathan Klever Caicedo Cepeda, 33, untuk mengetuai cabaran.

Caicedo yang direkrut pada Jun tahun ini merupakan pakar pendaki yang pernah lima tahun bersama pasukan WorldTeam EF-Education, selain pernah bergelar pemenang Peringkat 3 di Giro d’Italia 2020, juara Vuelta Bantrab dan Vuelta a Tachira pada 2024 serta muncul empat kali sebagai juara kebangsaan Ecuador termasuk bagi acara ujian masa individu (ITT).

Kejayaan terbaru pelumba yang mengumpul 10 kemenangan dalam kariernya serta berpengalaman menyertai lapan Grand Tour dan empat Klasik sepanjang kariernya adalah muncul juara keseluruhan di jelajah Qinghai Lake pada Julai lalu, dengan dua kali menduduki tempat kedua pada Peringkat 3 dan Peringkat 5.

Memperkuatkan cabaran di laluan berbukit bersama-sama Caicedo nanti adalah Petr Rikunov, 29; Andrei Stepanov; 27, dan pelumba Mongolia, Bold Iderbold, 28; yang kesemuanya adalah pelumba serba boleh (all-rounder) di laluan landai dan berbukit.

Rikunov, bekas pelumba RusVelo-Gasprom menyertai Chengdu sejak 2024 dan antara pencapaian terbaiknya adalah memenangi jersi pendahulu Tour of Poyang Lake pada  2024 dan 2025, manakala prestasi terbaiknya tahun ini ialah di tangga ketiga keseluruhan China-Xizang Trans-Himalaya, bulan lalu.

Stephanov juga sudah bersama Chengdu sejak 2024 dan pencapaian terbaik musim ini adalah tempat kedua perlumbaan peringkat kebangsaan Pro Cycling League China-Han Feng Shu.

Iderbold yang dilamar Chengdu pada Mac tahun ini adalah bekas pelumba Huansheng-Vonoa-Taishan Sport Cycling Team dengan prestasi terbaik tahun ini menduduki tempat ketiga kejohanan kebangsaan Mongolia dan ke-24 keseluruhan Tour of Qinghai Lake.

 Chaoyi, 23; dan bekas pelumba Li Ning, Shao Junqi, 27, akan sekali lagi cuba mencari kemenangan peringkat dalam henjutan beramai-ramai terakhir.

Ketua Pegawai Operasi  (COO) Sekretariat LTdL26, Emir Abdul Jalal berkata, kehadiran Caicedo itu sendiri menambah kerancakan dan tumpuan terhadap sebuah pasukan dari negara China yang kurang menyerlah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“China mempunyai banyak kelab berdaftar berstatus Benua tetapi mereka lebih memberi tumpuan kepada perlumbaan dalam negara dan beberapa kali menyertai jelajah di Jepun, Korea dan Taiwan.

“Tetapi apabila tenggelam dalam penampilan pertama tahun lalu, Chengdu membuat keputusan besar dengan mengambil Caicedo. Hasilnya pelumba Ecuador ini menang gelaran keseluruhan Tour of Qinghai Lake dan turut disertakan dalam senarai ke LTdL26 ini.

“Dengan pengalaman dan prestasi terkini Caicedo ini, Chengdu dilihat seolah-olah memberi amaran awal kepada pasukan berstatus WorldTeam dan ProTeam lain untuk mencabar jersi pendahulu,” kata Emir lagi.

Edisi ke-30 LTdL26 yang berstatus ProSeries akan bermula pada 27 September ini di Shah Alam dan berakhir dengan Peringkat 8 di Putrajaya pada 4 Oktober depan, membabitkan jarak keseluruhan 1,285.5km.

Ia dianjurkan bersama oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) serta Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Anda mungkin berminat dengan

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Related Topics

Must Watch Video

Advertisement