Kehadiran bintang import terus menyemarakkan saingan CelcomDigi Netball Super League apabila pemain Australia, Gretel Bueta, mengakui dia pada awalnya berasa ragu-ragu terhadap tahap sebenar liga bola jaring Malaysia sebelum membuat keputusan menyertai Johor Jewels.
Menurut Bueta, dia sempat melakukan pencarian di media sosial bagi mendapatkan gambaran awal mengenai suasana dan tahap persaingan liga yang masih dalam fasa pembangunan itu.
Advertisement
Namun, segala persoalan tersebut terjawab sebaik sahaja dia turun beraksi dalam perlawanan pertamanya.
Pemain berpengalaman itu menyifatkan kemeriahan dan sokongan yang ditampilkan dalam saingan NSL jauh mengatasi jangkaannya, malah mengakui suasananya lebih meriah berbanding apa yang pernah dirasainya di negara kelahirannya, Australia.
Dalam masa sama, Bueta yang baru sahaja melahirkan anak ketiganya tahun lalu menegaskan bahawa keputusannya berhijrah ke Malaysia bukanlah untuk meraih populariti semata-mata di kalangan peminat di Australia.
Sebaliknya, keinginan untuk mencuba cabaran baharu menjadi faktor utama yang mendorong beliau menyertai liga ini.
Bekas pemain bola jaring Australia Gretel Bueta akui dalam keadaan berteka teki bagaimana wajah NSL di Malaysia, dia menemui jawapan luar biasa, selepas melalui 4 aksi tanpa tewas bersama Johor Jewel musim ini pic.twitter.com/A6xSiN26jc
— FinaNasrom (@fnasrom) April 27, 2026
Sementara itu, rakan sepasukannya dari New Zealand, Laura Langman, yang juga bekas kapten kebangsaan, dilihat mampu menjadi nadi utama pasukan Johor Jewels musim ini.
Langman percaya skuad tersebut memiliki keupayaan untuk muncul sebagai antara pencabar utama, namun menegaskan pendekatan lebih realistik diperlukan dengan mengharungi setiap perlawanan satu demi satu sebelum meletakkan sasaran lebih besar.
"Ia sangat hebat untuk mengenali pemain, pasukan lain, dan bagaimana pasukan beroperasi dalam NSL.
"Saya suka kaedah permainan yang tidak ortodoks dan gaya unik yang dibawa oleh negara-negara yang berbeza ke gelanggang," katanya.
"Ia sememangnya menjadikan perancangan permainan sangat menarik."
Kehadiran pemain berprofil tinggi seperti Bueta dan Langman jelas memberi nilai tambah kepada NSL, sekali gus memperkukuh reputasi liga bola jaring tempatan di pentas antarabangsa.