Di kala usia 15 tahun, kebanyakan remaja seusianya masih memberi fokus kepada kehidupan di bangku sekolah, namun berbeza buat Andrian Armani Khabini yang mencipta sejarah tersendiri apabila muncul antara juara termuda dalam sejarah Kejohanan Boling Padang Singles dan Pairs Kebangsaan 2026.
Detik bersejarah itu hadir di Ipoh menerusi kejayaan Andrian bergandingan bersama atlet program podium negara, Muhammad Fikri untuk menjuarai acara pairs lelaki sekali gus menghadiahkan kejayaan bermakna buat kontinjen Selangor.
Kejayaan itu turut membuktikan keberkesanan strategi kontinjen Selangor yang tampil dengan pendekatan unik pada edisi kali ini apabila menggandingkan atlet elit negara bersama bakat muda sebagai persiapan menghadapi SUKMA Selangor 2026.
Siapa sangka kombinasi pertama kali antara Fikri dan Andrian akhirnya mencetuskan sejarah.
Pada aksi final pairs lelaki menentang Labuan (A), pasangan Selangor (B) itu terlebih dahulu tewas 2-3 pada set pembukaan dan dilihat berada dalam tekanan ketika lawan semakin hampir menamatkan perlawanan.
Namun pengalaman serta ketenangan Fikri berjaya membantu Andrian kembali fokus sebelum mereka bangkit memenangi set kedua 4-3 untuk mengheret aksi ke penentuan tie-break.
Dalam situasi getir menuju end terakhir, ketepatan balingan serta kecemerlangan taktikal kedua-dua pemain akhirnya memastikan kejuaraan menjadi milik Selangor (B).
Fikri mengakui dia langsung tidak berasa terbeban untuk bergandingan bersama pemain muda seperti Andrian kerana percaya bakat remaja itu memiliki potensi besar untuk pergi lebih jauh.
“Saya tak rasa terbeban langsung. Saya cuma cuba bantu dia bermain dengan tenang dan yakin sebab saya tahu dia ada kemampuan besar,” katanya.
Sementara itu, Andrian yang lahir dalam keluarga boling padang mengakui perjalanan untuk berada di tahap sekarang bukan mudah terutama dalam mengimbangi pelajaran dan latihan harian.
Menurutnya, dia perlu membahagikan masa dengan disiplin tinggi termasuk menjalani latihan hampir enam jam sehari sambil memastikan prestasi akademiknya tidak terjejas.
“Saya memang kena pandai bahagikan masa antara sekolah dan latihan. Penat memang penat, tapi saya mahu capai impian dalam boling padang,” katanya.
Andrian turut merakamkan penghargaan kepada jurulatih SUKMA dan semua jurulatih terdahulu yang banyak membimbingnya sehingga berjaya mencipta nama di pentas kebangsaan pada usia muda.
Dalam perkembangan lain, juara dunia pairs 2023, Nur Ain Nabilah meraikan “kelahiran semula” kariernya apabila muncul juara acara singles kebangsaan buat kali kedua selepas penantian selama 12 tahun.
Lebih manis, Ain kembali menjulang gelaran tersebut selepas kali terakhir muncul juara singles kebangsaan pada tahun 2014.
Sejak mencipta sensasi dengan muncul juara dunia pairs bersama Aleena Ahmad Nawawi pada 2023, Ain mengakui dia melalui pelbagai cabaran serta tekanan besar untuk mengekalkan prestasi di tahap tertinggi.
Aksi final singles menyaksikan Ain diberi tentangan sengit oleh wakil Terengganu, Nor Zamziezah.
Ain terlebih dahulu tewas 6-7 pada set pertama sebelum lawannya itu hampir menamatkan perlawanan secara straight sets.
Namun pengalaman dan ketenangannya ketika melakukan draw penting berhampiran jack berjaya mengubah momentum permainan sebelum bangkit memenangi set kedua 7-6 dan seterusnya menguasai tie-break untuk menoktahkan kemenangan.
“Kejayaan ini sangat bermakna sebab selepas jadi juara dunia, tekanan memang sangat besar. Dalam final tadi pun saya hampir kalah, tapi saya cuba kekal tenang dan fokus pada setiap draw,” katanya.
Kejuaraan itu sekali gus menyaksikan Ain kembali bergelar juara singles kebangsaan dalam dua era berbeza, sekali gus membuktikan kualiti dan mentalitinya masih berada di tahap tertinggi.