Kepulangan atlet boling padang negara, Idham Amin Ramlan, dari Kejohanan Dunia Dalam Dewan di Australia membawa sinar baharu dalam usahanya mempertahankan gelaran acara singles pada Kejohanan Kebangsaan Boling Padang 2026.
Namun di sebalik keyakinan untuk mempertahankan kejuaraan, Idham berdepan cabaran besar apabila mempunyai tempoh masa yang cukup singkat untuk menyesuaikan diri dengan venue pertandingan di Arena Lawn Bowls Ipoh, Perak selepas baru pulang dari Australia.
Di Australia, Idham bersama gandingannya, Siti Nur Hadziqah Jasly Rofizy, menamatkan saingan acara singles dan pairs di peringkat kumpulan.
Walaupun tidak berjaya melangkah lebih jauh, pengalaman bersaing dengan pemain elit dunia dianggap cukup bernilai dalam meningkatkan tahap permainannya.
Pendedahan di pentas antarabangsa itu memberi dimensi baharu terutama dari aspek taktikal, kawalan permainan serta ketahanan mental ketika berdepan tekanan pertandingan bertaraf dunia.
Idham mengakui pengalaman di Australia memberinya suntikan keyakinan baharu menjelang aksi Kejohanan Kebangsaan yang bermula Selasa ini.
Dengan momentum serta ilmu yang diperoleh sepanjang kejohanan dunia itu, dia kini bersedia untuk membawa corak permainan lebih matang dalam usaha mempertahankan dominasinya di pentas domestik.
Tahun lalu, Idham mencipta sensasi apabila muncul juara acara singles Kejohanan Kebangsaan di kampung halamannya di Kuala Terengganu.
Dalam final tersebut, beliau berjaya menewaskan wakil Perak, Ahmad Zikry Sazeli, sekali gus mengesahkan statusnya sebagai antara prospek terbaik negara ketika ini.
Kini, cabaran lebih besar menanti buat Idham apabila semua pemain pastinya mahu menamatkan penguasaannya, namun pengalaman antarabangsa yang baru diraih mampu menjadi kelebihan utama untuknya sekali lagi bergelar juara kebangsaan.