Hari kedua Kejohanan Boling Padang Jemputan 7 Negara 2026 menampilkan aksi memberangsangkan apabila hanya satu wakil negara sahaja yang gagal menjelmakan kemenangan.
Dan lebih membanggakan buat pasangan pairs wanita pelapis negara yang pertama kali digandingkan, Nur Syafira Muhammad Redzuan dan Nurul Balqis Anisha Bakar, mampu meneruskan rentak kecemerlangan itu pada hari ini di Stadium Juara, Bukit Kiara.
Advertisement
Dalam Kejohanan yang dibawakan khas oleh Yayasan Sime Darby dan Persekutuan Lawn Bowls Malaysia itu, Nur Syafira dan Nurul Balqis mencipta kejutan pada hari pertama selepas menewaskan senior mereka, Aleena Nawawi dan Alyani Jamil, sebelum meneruskan rentak kemenangan itu dengan mengatasi India 2-0.
Buat mereka, rentak cemerlang ini merupakan langkah untuk membuktikan diri dan secara tidak langsung merebut tempat dalam skuad negara.
Dan fokus ketika ini pastinya untuk mengekalkan tempo tersebut pada hari ketiga.
"Kami cuba buktikan bahawa walaupun sebagai pemain baru, kami mampu bersaing untuk merebut tempat dalam Sukan SEA," kata Nurul Balqis.
"Kami cuba menunjukkan keserasian agar menarik perhatian jurulatih walaupun pertama kali menyertai kejohanan bertaraf sebegini," kata Nur Syafira.
Sementara itu, pasangan pairs senior negara, Aleena dan Alyani, yang tewas semalam berjaya menjelmakan kemenangan pertama dalam kejohanan ini.
Cabaran besar apabila selepas ini mereka memerlukan kemenangan untuk ke peringkat seterusnya dengan India hadir sebagai rintangan.
"Kemenangan ini akan melonjakkan semangat kami pada saban setiap hari," kata Alyani.
Tambah Aleena: "Saya dapat mengekalkan permainan cantik sepanjang permainan agar tidak menyusahkan rakan sepasukan."