Malaysia menutup tirai Kejohanan Boling Padang 7 Negara 2026 dengan cemerlang apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.
Menggunakan format rasmi Sukan Komanwel Glasgow 2026, penguasaan penuh sejak hari pertama menyaksikan skuad negara mengungguli keempat-empat acara akhir sebelum merangkul kejuaraan di tempat sendiri.
Advertisement
Ketua jurulatih, Fairul Izwan Abd Muin, menyifatkan kejohanan itu sebagai titik permulaan penting dalam persediaan menghadapi Sukan Komanwel 2026 selain mengakui masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki dan ditambah baik.
"Sejujurnya banyak yang perlu difikirkan. Banyak lagi yang perlu dilakukan.
"Ini hanya sekadar permulaan. Saya berpuas hati.
"Pasukan A adalah pasukan yang disasarkan sebenarnya, namun berlaku sebaliknya," katanya.
Hasrat yang diimpikan telah tercapai, namun beberapa kejohanan besar lain menanti kem boling padang negara sebelum senarai akhir mewakili negara ke Glasgow disahkan.
"Apabila menuju ke Sukan Komanwel, bukan sahaja memenangi satu pingat dalam seluruh kejohanan.
"Kami harus melihat bagaimana mahu membawa satu kejohanan sama ada boleh meneruskan rentak kecemerlangan melibatkan kemahiran, semangat dan persiapan mental.
"Jadi, saya menunggu penilaian daripada pihak jurulatih," kata Presiden Persatuan Lawn Bowl Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz.
"Sebagai sebuah syarikat yang mementingkan sukan, kami amat berbangga bersama PLBM memajukan sukan boling padang negara.
"Kami amat gembira dengan kolaborasi ini.
"Insya-Allah kem boling padang akan merangkul pingat emas nanti," kata Pengarah Urusan SD Guthrie Berhad, Mohd Haris Mohd Arshad.