'Bismillah, tarik nafas, hembus.'
Itu menjadi rutin atlet para boling padang Selangor, Muhammad Alif Ridhwan Mohd Sabri, setiap kali turun beraksi di gelanggang.
Dalam situasi pertandingan yang penuh tekanan, ketenangan menjadi kelebihan dan baginya, rutin itulah yang membantunya mengawal emosi serta kekal fokus sepanjang perlawanan.
Bermula sebagai atlet olahraga, namun kemalangan pada 2020 memaksa pemain perseorangan lelaki B-6 itu meninggalkan arena sukan hampir enam tahun sebaik kehilangan upayanya.
Bagaimanapun, pelawaan seorang rakan membuka lembaran baru dan Alif Ridhwan mula menceburi sukan boling padang, sekali gus menghidupkan kembali impiannya bergelar atlet.
Selepas menjalani latihan sejak Iktober tahun lalu, temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 menjadi pentas pertama buatnya, dan dia mengakui tekanan pertandingan ini jauh lebih besar daripada jangkaannya.
Gugup menguasai dirnya pada awal set pertama hingga dia ketinggalan enam mata di belakang wakil Sabah, Muhammad Danial Asyraaf Syazwan Abdullah.
Namun, rutin yang diamalkan membantunya kembali tenang sebelum merampas momentum untuk memenangi perlawanan dengan keputusan 21-11.
"Game pertama memang saya agak gugup tapi sebaik 'enjin panas', saya boleh buat sehabis baik.
"Pesanan jurulatih agar saya mengambil langkah Bismillah, tarik nafas dan hembus sentiasa saya amalkan," katanya.