Bintang Harimau Malaya, Dion Cools, sekali lagi cemerlang memastikan gawang Cerezo Osaka tidak dibolosi ketika terikat 0-0 dengan Tokyo Verdy dalam aksi J1 League malam tadi.
Pertahanan berusia 30 tahun itu beraksi cemerlang sepanjang 90 minit, di mana dia memenangi 10 daripada 13 perebutan bola, melakukan tiga pintasan dan 83 peratus ketepatan hantaran.
Dengan statistik cemerlang itu, Cools diberikan penilaian tertinggi di laman web Flashscore dengan rating 8.1, jauh meninggalkan pemain-pemain lain.
Sebagai rekod, Cools memulakan kesemua enam perlawanan liga Cerezo setakat ini dan bermain penuh selama 90 minit dalam kesemua perlawanan itu, di mana mereka hanya dibolosi lima gol setakat ini, rekod kedua terendah di belakang Vissel Kobe dengan empat kali bolos.