Ikon bola sepak, Cristiano Ronaldo, dan tunangnya, Georgina Rodriguez, sekali lagi menjadi topik perbualan hangat apabila didakwa bakal berkahwin pada 1 Ogos 2026.
Khabar angin bertiup kencang terutama dalam talian, kononnya jemputan perkahwinan pasangan itu telah pun diedarkan secara senyap dan bakal dilangsungkan penuh privasi di sebuah estet bersejarah, Quinta de Regaleira di Sinta, Portugal pada 1 Ogos 2026.
Spekulasi semakin memuncak apabila berita itu turut disampaikan dalam sebuah program televisyen Portugal, V+ Fama pada Selasa lalu.
Antara butiran lain yang dikongsikan, turut menyentuh kod pemakaian tetamu yang didakwa mesti memakai pakaian berwarna hitam.
Bagaimanapun majalah terkenal Sepanyol, HOLA pantas menyangkal dakwaan itu. Sebaliknya mengesahkan melalui sumber mereka bahawa perkahwinan itu tidak akan berlangsung pada hujung minggu ini.
Ia ekoran Quinta da Regaleira dilaporkan kekal dibuka untuk kunjungan pelancong sepanjang minggu ini dan turut menjadi lokasi penganjuran sebuah persembahan muzik – menjadikannya hampir mustahil untuk membuat sebarang persediaan bagi sebuah majlis perkahwinan gah yang tertutup dan berprofil tinggi.
Ronaldo dan Rodriguez telah bersama sejak 2016 dan mengumumkan pertunangan mereka pada Ogos 2025.
Pasangan ini dijangka memeterai ikatan perkahwinan selepas tamat Piala Dunia 2026 lalu seperti yang dikongsikan Ronaldo dalam temu bual bersama Piers Morgan.
Namun perkahwinan masih belum berlangsung dan didakwa berlakunya penangguhan ekoran kegagalan Portugal meraih kejuaraan. Ini menjadikan tarikh perkahwinan pasangan itu menjadi topik yang terus diperkatakan.