Dunia sukan terus diwarnai dengan pelbagai momen besar yang mencuri perhatian peminat, daripada kejutan di gelanggang hingga kejayaan membanggakan di pentas Asia, serta insiden kontroversi yang mencetuskan perdebatan.
Kurang daripada 24 jam sebelum memasuki 2026, berikut merupakan 10 momen paling mendapat tumpuan melibatkan sukan di Malaysia sehingga menarik minat perhatian antarabangsa.
Advertisement
1- PEMALSUAN DOKUMEN FAM+7 PEMAIN WARISAN+KEMENANGAN KE ATAS VIETNAM + TINDAKAN FIFA
26 September 2025 menjadi igauan dan mimpi ngeri penggiat bola sepak negara apabila Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menjatuhkan 12 bulan penggantungan terhadap tujuh warisan Harimau Malaya akibat isu dokumentasi. Pelbagai bentuk siasatan dijalankan, termasuk beberapa kenyataan daripada FIFA terus mempersoalkan nasib bola sepak negara, selain bakal diketahui jawapannya pada tahun hadapan usai usaha rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di peringkat Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) ditentukan. Tiga perlawanan persahabatan antarabangsa turut dihukum, ditarik kemenangan dan penolakan ranking.
2- PENCAPAIAN MALAYSIA DALAM SUKAN SEA THAILAND (KEDUDUKAN & SASARAN) SUKAN PALING CURI TUMPUAN
Malaysia mengakhiri Sukan SEA Thailand di kedudukan keempat keseluruhan, sekali gus melepasi sasaran 200 pingat yang ditetapkan. Paling manis, kontinjen kebangsaan mengumpul 57 emas iaitu jumlah terbanyak diperolehi di luar Kuala Lumpur. Pelbagai detik suka duka tercipta menggambarkan pengorbanan atlet bermain demi lencana di dada. Sepak takraw paling mendapat sambutan tatkala kemenangan berganda regu dan berpasukan dalam temasya dwitahunan itu sejak Manila 1991.
3- JDT JUARA PIALA FA 2025 (KALI KE-4 BERTURUT-TURUT)
Juara Liga Super 11 kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT), menepati ramalan merangkul kejuaraan Piala FA 2025 buat kali keempat berturut-turut selepas menewaskan Sabah 5-0 di Sadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ). Meskipun ketiadaan Arif Aiman Hanapi dan Bergson da Silva, skuad kendalian Xisco Munoz tetap berhasil mempamerkan permainan terbaik bagi menoktahkan kejayaan.
4- CHEN TANG JIE-TOH EE WEI BEREGU CAMPURAN PERTAMA JUARA DUNIA
Sejarah tercipta dalam Kejuaraan Dunia 2025 apabila beregu campuran nombor satu Malaysia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, memenangi gelaran Juara Dunia buat kali pertama, sekali gus menamatkan penantian dalam kategori tersebut bagi Malaysia. Selain itu, pasangan ranking keempat dunia itu turut memenangi gelaran Terbuka Australia musim ini.
5- EMMA FIRYANA KEMBALI TAKLUKI DUNIA (MENANG WOMEN SINGLE PIALA DUNIA)
Jaguh boling padang negara, Emma Firyana Saroji, menamatkan penantian bergelar juara dunia apabila mengungguli acara perseorangan wanita Piala Dunia Boling Padang di Stadium Juara, Bukit Kiara, November lalu. Sebelum ini, pencapaian terbaiknya dalam Piala Dunia ialah memenangi pingat gangsa pada 2011. Dan, Buat kali pertama dalam sejarah, Malaysia diangkat sebagai juara keseluruhan Piala Dunia Boling Padang!
6- ATLET PARA KEKAL JADI LUBUK JUARA DUNIA
Dua atlet para kebanggaan Malaysia, Bonnie Bunyau Gustin dan Datuk Abdul Latiff Romly, terus menjadi sandaran mengangkat martabat negara di persada antarabangsa apabila berterusan menjadi juara dan memecahkan rekod terdahulu. Bonnie dinobatkan selaku Juara Dunia sekali lagi selepas bertanding dalam kategori 72 kilogram (kg). Pemenang pingat emas Sukan Komanwel itu menawan penonton yang hadir serta dengan melakukan angkatan seberat 215kg, seperti yang pernah dibuatnya sebelum ini untuk bergelar juara kejohanan berprestij itu. Abdul Latif melakukan lompatan sejauh 7.67 meter untuk memenangi pingat emas, sekali gus memperbaharui rekod dunia, 7.64 meter, yang dilakukan dalam Sukan Para Asia di Jakarta pada 2018.
7- TENPIN BOLING JUARA DUNIA (NATASYA & BERPASUKAN LELAKI)
Bintang boling negara, Natasha Roslan, tidak sangka muncul atlet wanita negara pertama dinobatkan selaku juara dunia, sekali gus menamatkan kemarau 53 tahun Malaysia tanpa kejuaraan bagi kategori individu wanita.
Lebih manis lagi, kejayaannya itu mengubat kekecewaan ketika kempen Piala Dunia 2019 di Palembang yang menyaksikan dia menamatkan saingan di kedudukan keempat secara keseluruhan. Skuad boling lelaki negara muncul juara dalam cara berpasukan Piala Dunia Boling Tenpin selepas menewaskan Puerto Rico 3-2, di Kowloon, Hong Kong. Wakil negara yang dibarisi Timmy Tan, Ahmad Muaz Mohd Fishol, Muhammad Rafiq Ismail dan Tun Hakim Tun Hasnul Azam memenangi tiga daripada empat perlawanan dengan keputusan 203-170, 216-257,197-180,185-222,227-161, untuk merangkul gelaran itu.
8- WUSYU (TAN CHEONG MIN)
Kem wushu Malaysia mencatatkan keputusan cemerlang dalam Kejohanan Wushu Dunia ke-17 di Brasilia, Brazil. Tan Cheong Min terus mencipta sensasi merangkul pingat pertama negara dengan memenangi acara nangun wanita dengan 9.746 mata.
9- GOH SZE FEI & IZZUDDIN RANK NO 1 DUNIA
Pada Mei lalu, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengemas kini ranking menyaksikan beregu lelaki professional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin, bergelar pemain nombor satu dunia, namun ia tidak bertahan lama apabila tersungkur di tempat ketujuh.
10- SIDANG MEDIA TERBURUK FAM
Tatkala drama bola sepak negara semakin memuncak, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampil mengadakan sidang media buat kali pertama untuk menjelaskan situasi semasa. Dengan kehadiran peguam antarabangsa, Serge Vittoz, sesi soal jawab juga kelihatan kecoh apabila barisan wartawan sukan tanah air mahu mendapatkan jawapan. Dalam masa sama, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, turut direhatkan sementara daripada tugasan berhubung isu pemalsuan dokumen.